Perlis benarkan solat tarawih di masjid, surau sepanjang Ramadan

Iklan
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membenarkan aktiviti mengimarahkan masjid dan surau termasuk mengadakan solat tarawih di seluruh negeri sepanjang Ramadan ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pelaksanaan semua aktiviti tersebut yang berkuat kuasa 1 Ramadan di masjid dan surau yang berdaftar di Perlis itu perlu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang telah ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Bagi mengelakkan berlaku limpahan kehadiran jemaah, solat tarawih boleh dilakukan dalam dua sesi,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan MAIPs di sini pada Rabu.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah sesi pertama dilakukan pada 9.00 malam sehingga 10.30 malam, manakala sesi kedua mulai 10.30 malam sehingga 12.00 tengah malam.

Iklan

Syed Faizuddin bertitah masjid dan surau tidak dibenarkan menjemput imam dari luar Perlis kecuali telah mendapat kebenaran khas daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

Baginda bertitah, warga asing juga dibenarkan solat tarawih kecuali Individu Dalam Siasatan (PUI) dan Individu Yang Dijangkiti Penyakit Berjangkit (PUS).

Iklan

"Aktiviti pengimarahan masjid lain yang dibenarkan adalah seperti solat sunat witir, tazkirah, tadarus, iftar, gotong-royong, qiyamullail, pengagihan sumbangan dan lain-lain selagi ia mematuhi SOP dan penjarakan fizikal satu meter,” titah baginda.

Menurut baginda aktiviti di masjid hendaklah ditamatkan sebelum 12.30 tengah malam bagi melakukan proses pembersihan dan nyah kuman.

"Masjid akan dibuka semula pada 4.00 pagi, namun pada 10 hari terakhir Ramadan masjid akan dibuka pada 3.00 pagi,” titah baginda.

Selain itu, titah baginda hanya jemaah yang berdaftar dengan jawatakuasa kariah masjid, dibenarkan beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan dengan syarat melakukan penjarakan fizikal lima meter. - Bernama