MANCHESTER City masih belum selamat selepas hanya mampu menang tipis 2-1 ke atas Borussia Dortmund dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Etihad pada awal pagi Rabu.
Perkara itu diakui pemain tengah City, Kevin de Bruyne yang menjangkakan aksi sukar bakal dihadapi pasukannya ketika bertandang ke Westfalenstadion dalam aksi timbal balik pada 15 April ini.
"Kami melihat cara mereka bermain dengan penguasaan bola yang bagus. Ia kadangkala memberikan masalah kepada kami dengan serangan balas yang mereka terapkan. Saya rasa untuk separuh masa pertama, kami berdepan kesukaran untuk mencari peluang jaringan, tetapi pada separuh masa kedua kami ia sedikit berbeza.
"Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol tetapi apabila mereka berjaya menyamakan kedudukan 1-1, ia menyentak kami dan mujur kami dapat bangkit dengan cepat mencari satu lagi gol untuk dibawa pada aksi timbal balik nanti.
"Saya rasa reaksi kami sangat bagus dalam perlawanan ini selain perasaan meraih kemenangan ini sangat menyenangkan. Kami tahu keputusan 2-1 ini tidaklah terlalu selamat, tetapi sekurang-kurangnya ia memberikan kelebihan kepada kami untuk aksi timbal balik nanti," katanya.
Dalam perlawanan itu, de Brune meletakkan City di hadapan menerusi gol pada minit ke-19 sebelum Marco Reus menyamakan kedudukan buat Dortmund pada minit ke-84. City perlu menunggu sehingga penghujung babak perlawanan untuk mendapatkan gol kemenangan menerusi jaringan Phil Foden.
City juga tampil dominan menguasai 61 peratus perlawanan selain mencipta lima percubaan ke gawang lawan biarpun Dortmund turut memberikan saingan sengit kepada pasukan gergasi England itu.
Kemenangan ini menyaksikan City hanya memerlukan keputusan seri dalam aksi timbal balik minggu depan untuk mengesahkan kemaraan ke pentas separuh akhir.