SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan adanya perbualan antara beliau dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rakaman audio yang tular di media sosial.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa tiada sebarang perbualan beliau dengan Ketua Pembangkang itu selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lepas.
"Sebagai Presiden UMNO, saya tidak akan sesekali mencabuli apatah lagi membelakangi apa jua ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO.
"Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang 'scheme of thing’ ini,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, rakaman audio itu merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik serta bukti usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO.
Ujar Ahmad Zahid, beliau percaya lebih banyak lagi perbuatan keji seperti itu yang akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO.
Satu rakaman video dan audio didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar tular di media sosial pada Rabu.
Video tersebut dipercayai bermula dengan ucapan Ahmad Zahid ketika bercakap pada PAU yang menegaskan bahawa UMNO tidak akan menerima Anwar, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagaimanapun, dalam video berdurasi empat minit 17 saat menerusi akaun Facebook Insider Malaysia itu, turut kedengaran suara dipercayai mirip dengan Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam PAU menerusi panggilan telefon.
ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman audio didakwa mirip suara Anwar-Ahmad Zahid tersebar