SHAH ALAM - Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub tidak boleh dipersalahkan berikutan pemotongan subsidi padi petani dan elaun sara hidup nelayan.
Beliau mendakwa, pemotongan tersebut dilakukan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
"Saya masih ingat waktu perbahasan belanjawan di Parlimen. Wakil rakyat dari semua parti PH dan BN merayu kepada Menteri Kewangan supaya tidak potong bantuan untuk petani, pekebun kecil dan nelayan.
"Tapi Menteri Kewangan ini tak berapa kisah tentang ekonomi rakyat sampai Salahuddin menangis," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Kelmarin, Salahuddin menitiskan air mata ketika membaca surat yang diserahkan seorang petani pada majlis pelancaran hala tuju kementeriannya.
Surat yang diserahkan wakil petani dari Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Besar, Ibas Hamud, 77, ke tangan Salahuddin sendiri sebagai gimik pelancaran hala tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Surat yang dibaca Salahuddin itu antara lain meluahkan kebimbangan dan kegusaran petani serta nelayan dengan pemotongan elaun sara diri kumpulan berkenaan.
Mengulas lanjut, Khairy turut mengemukakan fakta dari buku belanjawan yang menunjukkan potongan dibuat oleh Guan Eng.
Menerusi Belanjawan 2019, anggaran bajet kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dikecilkan berbanding 2018.
Sebagai contoh, peruntukan bagi subsidi baja padi adalah sebanyak RM232.5 juta berbanding RM465 juta pada 2018.
Begitu juga dengan insentif pengeluaran padi dikurangkan hampir separuh iaitu daripada RM563 juta kepada RM281.5 juta.
Bagi elaun sara hidup nelayan dan insentif hasil tangkapan nelayan hanya diperuntukkan sebanyak RM98.5 juta berbanding RM262 juta untuk 2018.