KUALA LUMPUR - Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mahu merangka strategi bagi menyepadukan tindakan daripada pihak kerajaan dan swasta dalam usaha membanteras aktiviti cetak rompak, khusus bagi industri media.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Norman Abdul Halim berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Lembaga Finas yang akan diadakan pada 15 April ini.
"Lebih baik kalau dapat banteras masalah ini bersama-sama, bukannya terletak dalam tanggungjawab Finas semata-mata tetapi melibatkan kesemua pihak yang berkepentingan dan mereka yang sayang industri (media) ini,” katanya selepas merasmikan pelancaran #JANGANTONTONHARAM Anti-Piracy Campaign di sini pada Rabu.
Beliau berkata, setakat ini usaha yang dijalankan pelbagai badan dan agensi, termasuk persatuan bagi membanteras cetak rompak adalah secara ad hoc dan silo iaitu bekerja dalam komuniti sendiri.
Justeru, Norman berkata, Finas sudah mewujudkan ‘war room’ untuk memantau aktiviti kegiatan haram itu pada Oktober 2020 yang turut berperanan menyelaraskan kerja-kerja pelaporan dan perbincangan dengan pihak berwajib lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta polis untuk tindakan lanjut.
Norman berkata, punca kuasa Finas hanya terletak pada Akta Finas 1981 (Akta 244) iaitu dari segi pelesenan bagi pengedaran.
"Alhamdulillah kali ini kita dapat lihat dari sudut perundangan, kita boleh gunakan punca kuasa tersebut untuk bersama-sama dengan industri, sekurang-kurangnya kita ada taringlah sekarang. Sebelum ni sebenarnya ada (akta) tetapi tidak pernah digunakan.
"Sekarang ini apa yang kita ingin lakukan adalah bagaimana nak menyepadukan aktiviti ini (banteras cetak rompak) dan harusnya ada satu jangka masa serta outcome atau keberhasilan dalam tempoh tertentu,” katanya menambah sebarang aktiviti pelaporan aktiviti cetak rompak, boleh dibuat kepada war room Finas melalui e-mel pembanteras@finas.my.
Pada 23 Februari, Industri Media dan Hiburan Malaysia (E&M) dalam kenyataan bersama memaklumkan mereka menanggung kerugian tahunan sebanyak RM3 bilion dan kehilangan sejumlah RM500 juta cukai pendapatan disebabkan kegiatan cetak rompak digital.
Sementara itu, pengarah dan penerbit filem, Datuk Dr Yusof Haslam berkata, kerajaan perlu lebih serius dalam menyelesaikan isu cetak rompak yang berlarutan sejak sekian lama.
"Saya bersetuju dengan kempen ini (banteras cetak rompak), tetapi ia tidak akan mendatangkan hasil secara total. Usaha ini harus digerakkan secara serius oleh kerajaan sebab tiada siapa takut pun dengan cetak rompak sekarang ini,” katanya. - Bernama