KUALA LUMPUR - Seorang pemuda dipercayai mengalami tekanan perasaan akibat putus cinta memasuki ruang akad nikah lalu terus duduk di pelamin milik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Perkara itu dikongsi Twitter @myJAWIKL pada Rabu menyatakan, lelaki berkenaan turut berzikir dan mengaji dengan kuat sebaik berada di ruang akad nikah berkenaan.
Iklan
Iklan
"Allahu. Ini kisah benar, bukan rekaan ataupun imaginasi novel cinta. Seorang pemuda tidak semena-mena, tidak berkasut, memasuki ruang majlis akad nikah di Jawi pagi ini, terus duduk di pelamin, berzikir dan mengaji dengan kuat.
"Syukur, pihak keselamatan dapat tangani dengan hikmah. Difahamkan pemuda ini mengalami tekanan perasaan akibat putus cinta," menurut kenyataan itu.
Pihak Jawi turut mendoakan agar pemuda itu diberi kesembuhan dan dipermudahkan urusannya dalam menghadapi ujian berat di dalam kehidupannya.
Rata-rata warganet yang bersimpati terhadap pemuda itu turut mendoakan agar dia terus kuat dan menasihatkan kepada orang ramai untuk sentiasa beri sokongan kepada golongan yang mengalami kemurungan.
Kata @jasniza,"Semoga diberi kekuatan untuk anak ini dalam kehidupannya dan semua yang lain sedang mengatasinya. Depression is not a joke, support each others".