KUALA SELANGOR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor sedang mengumpul maklumat berhubung skim kawalan harga maksimum sepanjang Ramadan ini.
Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, maklumat yang dikumpulkan itu akan disalurkan kepada KPDNHEP Putrajaya untuk dianalisa sebelum keputusan mengenainya diumumkan kerajaan.
Muhamad Zikril berkata, pihaknya telah membuat persediaan yang sewajarnya berhubung pengumuman skim kawalan harga berkenaan.
"Pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNHEP dan pegawai pemantau harga telah membuat liputan dan pemeriksaan di premis berkaitan," katanya pada sidang akhbar selepas menjalankan tindakan penguatkuasaan 'Ops Timbang Sawit' di Pusat Pengumpulan dan Pembelian Sawit di Sungai Yu, di sini pada Rabu.
Mengulas mengenai bekalan makanan di negeri ini, Muhamad Zikril berkata, setakat ini bekalan mencukupi di seluruh negeri Selangor dan pihaknya sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Kita tidak tahu apa yang berlaku dan meminta supaya peniaga dan pengguna maklumkan," katanya.
Justeru, tegas Muhamad Zikril, pihaknya akan mengenakan tindakan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga terutama sepanjang Ramadan ini.
"Kita akan pantau dari masa ke masa supaya tidak berlaku manipulasi harga kepada pengguna. Tindakan tegas ini akan dibuat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan," katanya.