SEMENYIH -"Tidak kira siapa yang menang atau kalah, paling penting jangan hilangkan diri, saya beri amaran ni," luah calon Bebas Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’.
Chee Heng berkata, biasanya siapa yang menjadi calon akan berjanji macam-macam, tanpa berniat untuk menunaikan janji tersebut.
"Mereka akan janji 'dunia dan langit', apabila dia menang atau kalah, segelintir daripada mereka akan menghilangkan diri, mereka juga tidak menjawab panggilan telefon kita," katanya.
Chee Heng turut mengucapkan tahniah kepada tiga pencabarnya di PRK DUN Semenyih.
"Saya berharap mereka akan bertanding dengan cara baik dan membawa perubahan di DUN Semenyih," katanya.
Beliau turut meluangkan masa berbincang bersama tiga pencabarnya selepas menyerahkan borang pencalonan di Dewan Seri Cempaka, di sini, tadi.
"Saya berbincang dengan mereka cara-cara untuk membawa Malaysia ke hadapan, kita bukan berpolitik tetapi lebih kepada menambahbaik kualiti kehidupan rakyat.
"Pentingnya kita bekerjasama tidak kira kita daripada PH, PSM dan BN," katanya.
Chee Heng berkata, masyarakat perlu.mengubah nasib sendiri, tidak perlu mengubah nasib YB.
"Kita melihat jam tangan, kereta, silap-silap bini YB pun berubah, kita seharusnya memilih YB yang boleh membantu masyarakat," katanya.