Osman perlu minta maaf dengan Sultan Johor

Iklan

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian disarankan untuk memohon keampunan Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di atas kekhilafan tidak memperbetulkan kelayakan akademiknya sejak mula dilantik.

Saranan itu diberikan bekas ADUN Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Jumat yang melihat tindakan berdiam diri diambil Osman sejak sembilan bulan yang lalu sedikit sebanyak mencemarkan martabat negeri Johor.

Iklan
Iklan

"Rakyat Johor memandang tinggi dan amat berbangga dengan darjah dan pingat kebesaran yang dikurniakan Sultan Johor. Ia kerana anugerah itu amat sukar untuk diperoleh malah hanya mereka yang berintegriti tinggi sahaja diberi kurnia.

"Peristiwa ini mungkin sedikit sebanyak mencemarkan martabat darjah kurniaan kebesaran negeri Johor oleh kerana pengisytiharan sijil yang dibiarkan terpamer selama sembilan bulan tanpa sebarang pembetulan menimbulkan persoalan integriti," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Iklan

Tengku Putra berkata, Osman yang juga kini ADUN Kempas juga harus bertanggungjawab dengan mengambil pendekatan memohon maaf kepada masyarakat di kawasan itu.

Menurutnya, walaupun permohonan maaf secara terbuka dibuat kepada rakyat di seluruh Malaysia, beliau perlu melakukan tindakan itu (meminta maaf) secara khusus di Kempas kerana orang di sana yang memilihnya sebagai wakil rakyat.

Iklan

"Walaupun beliau dengan penuh keikhlasan memohon maaf daripada rakyat Malaysia, adalah lebih penting dan menjadi tanggungjawabnya untuk memohon maaf daripada rakyat di Kempas.

"Mereka ini yang memilihnya sebagai ADUN dan Tuanku Sultan berkenan melantik beliau sebagai Menteri Besar Johor," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Putra berkata, isu kelayakan akademik bukanlah perkara yang hanya semata-mata mahu dipertikaikan tetapi mengapa Osman tidak melarang maklumat palsu itu dipaparkan sejak awal.

"Permasalahan timbul bukan kerana beliau tidak mempunyai kelayakan akademik, ia juga bukan kriteria semasa PRU14.

"Yang menjadi persoalan adalah mengapa maklumat palsu yang dipaparkan oleh semua media semenjak pelantikannya sebagai Menteri Besar selama 9 bulan lalu tidak dibetulkan," katanya.

Berhubung perkara itu, beliau juga menyuarakan mengapa institusi pengajian yang didakwa memberikan kelulusan kepada Osman tidak memberi penjelasan awal sebelum perkara terbabit terbongkar.

"Universiti Putra Malaysia (UPM) sewajibnya perlu lebih bertanggungjawab dengan mengikuti contoh langkah universiti lebih berwibawa seperti University of Cambridge dan University of Nottingham.

"Seharusnya UPM menjelaskan keadaan seawal mungkin untuk memadam api kemusykilan terhadap institusinya," katanya.