Mara lancar S3P bantu 1,000 usahawan seluruh negara

Iklan
Majlis pelancaran Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) Secara Atas Talian dan Direktori Usahawan serta Penyampaian Kemudahan Pembiayaan SPiM Penjana IPTS dan DanaNITA di Anjung Korporat, Ibu Pejabat Mara, Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan RM50 juta melalui Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) di bawah kendalian Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi membantu 1,000 usahawan di seluruh negara.

Pengerusi Mara, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, skim S3P diperkenalkan melalui fokus kedua di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) iaitu memacu pemulihan ekonomi di bawah inisiatif keenam kemudahan mikro kredit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, S3P adalah kemudahan pembiayaan perniagaan yang disediakan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro bumiputera dalam pelbagai sektor kecuali pertanian dan penternakan.

"Peruntukan secara sekali beri diperuntukkan kepada Mara untuk melaksanakan kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui S3P.

Iklan

"Ia bertujuan membantu 1,000 PKS mikro bumiputera terutama mereka yang terjejas akibat Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan S3P di sini pada Rabu.

Pada majlis tersebut, Azizah turut menyampaikan pembiayaan Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) kepada 21 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bumiputera.

Iklan

Sebanyak 12 IPTS bumiputera menerima cek berjumlah RM10.6 juta dan sembilan penerima surat tawaran pembiayaan Penjana IPTS, berjumlah RM15.7 juta.

Mengulas lanjut Azizah berkata, skop kemudahan pembiayaan meliputi keperluan modal pusingan, pembelian peralatan, promosi dan pemasaran serta belanja mengurus.

Beliau berkata, had pembiayaan maksimum adalah sehingga RM50,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga 72 bulan atau enam tahun tanpa cagaran dan penjamin.

"Justeru itu, saya menggalakkan lebih ramai usahawan mikro di luar sana untuk merebut peluang dengan memohon S3P bagi membangunkan perniagaan mereka.

"Permohonan hanya perlu dilakukan secara dalam talian melalui portal MyUsahawan yang boleh diakses melalui laman web rasmi Mara atau secara terus di aplikasi MyUsahawan," katanya.

Jelasnya, pihak Mara akan memantau perkembangan mereka setiap tiga bulan bagi memastikan usahawan yang mendapat bantuan S3P kekal bertahan.

Dalam pada itu, Azizah berkata, kira-kira RM1 juta peruntukan digunakan untuk Skim Pembiayaan Perniagaan Dananita (DanaNITA) sehingga kini berbanding dana keseluruhan RM25 juta yang ditawarkan Mara.

Katanya, sebanyak 58 permohonan dalam skim DanaNITA diluluskan tahun ini sehingga Mac khusus untuk membantu usahawan wanita.

Sehubungan itu, beliau berkata, lebih ramai usahawan wanita digalakkan untuk membuat permohonan kerana dana yang diperuntukkan masih banyak.

Sementara itu penerima bantuan bagi SPiM Penjana IPTS, Pengarah Bahagian Pembangunan & Infra dari Geomatika University College, Rudy Saputra berkata, bantuan yang diberikan kerajaan ini boleh diibaratkan memberi 'nafas baharu' kepada perkhidmatan (kolej latihan/ institut kemahiran) untuk terus bertahan.

"Bantuan kerajaan ini boleh digunakan untuk membangunkan semula apa yang terjejas sebelum ini.

"IPTS seperti kami sememangnya sangat terkesan dengan Covid-19 terutamanya dari segi kemasukan pelajar," katanya.

Penerima bantuan bagi DanaNITA, pengusaha kek kukus buah Empat Jam Enterprise, Farah Elina Azmi menyifatkan bantuan danaNITA banyak memberi kelebihan kepada usahawan mikro sepertinya.

"Bantuan ini dapat membantu kami para usahawan untuk 'grow' balik. Saya rancang dari awal apa yang perlu dilakukan sebaik dapat bantuan ini terutamanya dari segi penambahan staf.

"Selain itu, dengan bantuan ini memberi peluang kepada saya untuk menaikkan gaji staf sekali gus memberi membantu meningkatkan jualan," katanya.