Tak mahu pergi kerja, remaja tipu positif Covid-19

Iklan
Seorang remaja perempuan ditahan kerana memalsukan keputusan ujian calitan Covid-19.

ISKANDAR PUTERI - Seorang remaja perempuan yang dipercayai memalsukan keputusan ujian calitan Covid-19 ditahan di rumahnya di Mutiara Rini, Skudai di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, remaja berusia 19 tahun itu ditahan susulan laporan majikannya yang juga seorang pemilik restoran di Skudai, semalam.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, majikan berusia 32 tahun itu menerima mesej WhatApp pekerjanya yang menghantar foto sekeping surat mendakwa dia positif Covid-19.

"Disebabkan itu, lelaki tersebut menutup restorannya dan pergi ke klinik bersama 12 lagi pekerja yang lain untuk membuat ujian calitan Covid-19.

Iklan

"Bagaimanapun, hasil ujian calitan mendapati kesemua pekerjanya termasuk majikan restoran negatif Covid," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Menurut Dzulkhairi, majikan terbabit bertanya sendiri kepada pekerjanya yang dikatakan positif Covid-19 bagi mengetahui cerita sebenar.

Iklan

"Pekerja tersebut mengaku bahawa dia telah menipu tidak mahu datang bekerja. Menurut majikan itu, remaja terbabit baru sahaja sehari diterima bekerja di restoran tersebut pada Isnin.

"Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah seksyen 420/468 Kanun Keseksaan kerana memalsukan laporan pemeriksaan ujian calitan Covid-19.

"Polis akan memohon perintah reman ke atas suspek," katanya.