COLOMBO - Ratu cantik Sri Lanka yang dimalukan apabila mahkotanya dirampas pemenang pada tahun lalu nekad untuk memfailkan saman ke atas wanita itu.
Pushpika de Silva yang turut memerlukan rawatan di hospital akibat 'drama' yang tercetus ketika acara itu bagaimanapun diumumkan semula sebagai 'Mrs Sri Lanka' dalam satu majlis kecil pada Selasa.
Iklan
Iklan
"Saya maafkan semua individu yang terlibat dalam insiden memalukan itu. Jika ada pihak yang fikir tindakan mereka dapat menghalang saya, ia tidak akan berjaya. Saya adalah wanita besi," tegasnya.
Menurutnya, dia merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyerangnya, Caroline Jurie yang merampas mahkota dipakainya dan membuat tuduhan melulu kononnya dia sudah bercerai dan tidak layak untuk diumumkan sebagai pemenang pertandingan tersebut.
Difahamkan, wanita itu hanya tidak tinggal sebumbung dengan suaminya namun mereka masih sah sebagai suami isteri.
Penganjur turut menuntut ganti rugi daripada Jurie yang memegang gelaran 'Mrs World' kerana perbuatannya telah menyebabkan beberapa kerosakan dan tidak menghormati majlis yang disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial pada akhir minggu lalu.
"Kami juga telah melancarkan siasatan. Saya berasa sangat kesal dengan perbuatan Jurie," kata pemegang francais acara itu, Chandimal Jayasinghe. - AFP