KLUANG - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Tentera Darat Malaysia (TDM) akan meneruskan kerjasama dengan Tentera Darat Singapura setelah kejayaan program tahunan yang dikenali sebagai Eksesais Semangat Bersatu yang telah memasuki tahun ke-24.
Panglima TDM, Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, program kerjasama berkenaan diadakan secara giliran di antara TDM dengan Tentera Darat Singapura.
"Bagi tahun ini, eksesais ini telah diadakan selama 10 hari bermula 18 November lalu dan berakhir hari ini (semalam) yang membabitkan dan dilaksanakan di beberapa kawasan seperti Kem Majidee Batu Pahat, serta sekitar kawasan Kluang dan Kota Tinggi.
"Eksesais Bilateral (tempur) ini bermula pada 1994 dengan tahun ini giliran kita menganjurkannya, Formasi 7 Briged selaku pengelola dan peserta terdiri daripada pasukan 10 RAMD dengan seramai 74 pegawai dan 776 anggota lain-lain pangkat," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita semasa Majlis Penutupan Eksesais Semangat Bersatu Siri 24/2018 di kawasan serangan Bukit Lawlang- Simpang Renggam, di sini, semalam.
Menurutnya, bagi Tentera Darat Singapura pula diwakili 1st Singapore Infantry Battalion dengan seramai 13 pegawai dan juga 115 anggota lain-lain pangkat.
Katanya, eksesais pada kali ini berkonsepkan latihan Cross Trainning Excersice (CTX) dan Field Trainning Excercise dengan memfokuskan kepada latihan peperangan konvensional serta perkongsian kepakaran operasi di antara kedua-dua negara.
"Antara objektif yang hendak dicapai melalui eksesais kali ini adalah untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan pengalaman serta pendedahan dalam pengendalian dan prosedur operasi selain bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama di antara kedua-dua negara.
"Pada penutupan siri kali ini, gimiknya adalah pelaksanaan fasa serangan terakhir ke atas khemah musuh dan penyerahan bendera dari Pegawai Memerintah 10 RAMD, Lefttenan Kolonel Mohd Rizman Ramli kepada Pegawai Pemerintah 1st Singapura Infantry Battalion, Lieutenant Gabrial Tang,” katanya.
Hadir sama, Panglima Tentera Darat Singapura, Brigediar Jeneral Goh Si Hou dan Pangliman Medan Barat Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin.