Politik identiti dan rasuah – kejahatan berkembar

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123RF

TEORI, bukti empirikal, dan logik menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang intim di antara politik identiti dan rasuah.

Politik identiti dan rasuah adalah kejahatan berkembar yang saling memerlukan antara satu sama lain untuk menyusup dan bertapak dalam kehidupan masyarakat, dan merompak masa depan masyarakat dengan berterusan.

Iklan
Iklan

Bagi memperoleh tempat di era 4IR dan 5IR yang semakin hampir, kita perlu melawan dan membasmi kedua-dua anasir ini.

"Politik identiti” memaparkan penggunaan kategori umum yang merangkumi kumpulan tertentu seperti demografi khas (etnik, agama, jantina dll) dan/atau dikaitkan dengan pengalaman hidup yang unik untuk menggerakkan sokongan politik daripada kumpulan itu, merangka retorik politik dan mengejar kuasa.

Iklan

Pengalaman hidup unik yang kita bicarakan di sini semestinya merujuk kepada keresahan disebabkan oleh perasaan terpinggir secara kolektif dalam apa jua bentuk perkara (nyata atau sentimen), ditindas atau dikecualikan daripada akses kepada kuasa dan sumber kehidupan.

Menyuarakan dan menegaskan hak seseorang merupakan tindakan mulia yang harus diberi pujian. Namun, masalah besar timbul apabila perbuatan-perbuatan tersebut adalah berdasarkan motif politik.

Iklan

Malangnya, retorik politik selalunya cetek dan keterlaluan dalam menonjolkan perbezaan di antara mereka yang berada"dalam kumpulan” dan"di luar kumpulan” sama ada perbezaan itu benar atau hanya dibuat-buat.

Tambahan pula, para pemimpin politik secara umumnya mempunyai sikap konsumerisme yang sedikit terhadap keluhan rakyat.

Rungutan rakyat menjadi penting selagi projek politik tertentu perlu mendapat sokongan kuat (brownie points) daripada para pengundi.

Usaha pemimpin politik dalam mencari penyebab sebenar rasa tidak puas hati rakyat dan pencarian jalan penyelesaian yang boleh dipercayai sangat sedikit. Oleh sebab itu, dasar yang tidak seimbang, populistik, dan suboptimal telah dilaksanakan dan lebih teruk lagi, dasar-dasar tersebut merugikan dan menindas"kumpulan luaran” sambil melindungi"kumpulan dalaman", dan kitaran rungutan berterusan.

Saintis politik kontemporari terkenal Francis Fukuyama dan juga penentang politik identiti menunjukkan bahawa politik identiti melemahkan strategi negara secara drastik – pentadbiran negara berubah menjadi tindakan mengimbangi di ambang perang. Politik identiti menyulitkan tugas untuk menangani vektor tujuan keutamaan nasional.

Ahli politik sering kali terbawa-bawa dengan retorik berbaur identiti yang kuat sehingga mereka tidak mempedulikan realiti dan hakikat sebenar tentang apa yang rakyat mahukan dan utamakan pada masa yang gawat ini.

Dengan kewujudan politik identiti yang berkepentingan diri sendiri dan menjijikkan ini, kita boleh simpulkan bahawa hubungan erat dan kuat yang wujud di antara politik identiti dan rasuah ini bukannya terjadi secara kebetulan.

Rajah di bawah menunjukkan Indeks Persepsi Rasuah dan Indeks Keluhan Kumpulan seluruh dunia sejak 10 tahun lalu.

Indeks Keluhan Kumpulan hanya berfungsi sebagai proksi untuk sebahagian daripada manifestasi politik identiti yang jijik dalam sesebuah negara. Indeks ini mengambil kira beberapa petunjuk seperti sejauh mana perpecahan dan retakan di sepanjang paksi sosial dan politik, keharmonian hubungan di antara kumpulan dan kesamaan akses terhadap pelbagai sumber negara, antara lain.

Walaupun kedua-dua indeks ini hanyalah anggaran kasar bagi mengukur kekompleksan pembinaan sosio-psikologi seperti rasuah atau politik identiti, kita masih boleh melihat hubungan yang wujud berdasarkan rajah di bawah. Negara yang paling tidak korup nampaknya negara yang juga paling tidak berpecah belah, dan juga sebaliknya.

Kami masih tidak dapat simpulkan hubungan di antara indeks-indeks ini tetapi secara logik, boleh dikatakan bahawa terdapat hubungan timbal balik (reciprocal).

Camilla Orjuela, Profesor Penyelidikan Perdamaian dan Pembangunan, yang pakar dalam kajian pelbagai tentang proses sosial yang tidak stabil di serata dunia sejak tahun 1990-an juga telah membincangkan hubungan timbal balik di antara rasuah dan politik identiti secara terperinci dalam penerbitan penyelidikannya.

Rasuah dan politik identiti adalah dua kejahatan sosial yang kelihatan saling melengkapi dengan sempurnanya.

Penjarahan sumber secara tidak sah daripada"orang lain” tidak menimbulkan rasa penyesalan moral yang sama dengan menipu"orang anda sendiri”. Dari sudut pandangan yang lain, ia memperkuat dan memperkasakan prasangka bahawa"orang lain” tidak boleh dipercayai.

Politik identiti membuatkan kita lupa tentang perbezaan baik dan buruk, dan juga perkara benar dan salah. Akibatnya, kita menyokong parti-parti politik yang jelasnya sangat korup hanya kerana mereka merupakan"kumpulan dalaman”.

Idea ini sering diulang dalam hasil penyelidikan kualitatif EMIR Research:"Katakanlah kita menyokong sesebuah gabungan tertentu. Oleh disebabkan itu, apabila mereka melakukan sesuatu yang salah, kita berusaha untuk menghalalkannya. Ia tidak sepatutnya jadi sebegitu. Salah tetap salah."

Apabila sesebuah kumpulan identiti menikmati kuasa yang sangat tinggi dalam pembuatan keputusan yang penting, ia akan memberi peluang kepada kumpulan ini untuk mencari pelbagai cara bagi memperoleh habuan dan kelebihan (penerima rasuah) manakala bagi kumpulan lain yang berasa putus asa untuk melalui sistem formal juga akan beralih kepada saluran pengaruh tidak rasmi dan akhirnya menjadi pemberi rasuah.

Mereka yang menjadi mangsa pemerasan dan amalan rasuah lain akan membawa kepada rungutan atau rasa tidak puas hati termasuklah rungutan daripada kumpulan tidak dapat menikmati faedah rasuah.

Oleh yang demikian, perasaan tidak puas hati ini akan menguatkan lagi sentimen terhadap politik identiti.

Hubungan simbiotik di antara rasuah dan politik identiti merupakan satu kitaran yang kejam dan fakta ini tidak boleh disangkal lagi.

Oleh itu, kita harus memahami dan mempunyai kesedaran tentang betapa banyak yang telah dipertaruhkan dengan penglibatan secara berterusan dalam kitaran ini.

Apabila politik identiti menjadi ibu dan rasuah menjadi bapa, masa depan negara diibaratkan seperti anak yatim tetapi sebenarnya masih mempunyai ibu dan bapa. Namun, anak tersebut sesat dan ditinggalkan dalam perjuangan politik kejam demi perebutan akses kepada kuasa dan aset awam.

Mari kita tambahkan beberapa warna pada rajah sebelum ini – kita warnakan titik-titik tersebut mengikut tahap hasil inovasi negara (merah adalah yang terendah manakala hijau adalah yang tertinggi) seperti yang diukur oleh dimensi yang sesuai dengan Indeks Inovasi Global.

Kita dapat lihat bahawa kebanyakan negara unggul dari segi hasil inovasi tertumpu di sudut kiri sebelah atas. Perpaduan dan kewarakan bangsa jelas menentukan ketinggiannya kerana sifat-sifat ini pada skala nasional merupakan persekitaran yang kondusif untuk memupuk inovasi.

Sebilangan kecil titik hijau dalam rajah di atas juga menunjukkan betapa sukarnya bagi negara untuk menjadi pengeluar teknologi inovatif berbanding dengan pengguna inovasi semata-mata – satu-satunya cara untuk menghindari penjajahan digital yang dibawa oleh era 4IR dan juga era 5IR yang semakin menghampiri kita.

Warna dan lokasi pada rajah tersebut seperti negara Estonia, Jerman, Jepun, Singapura, Korea Selatan (dijelaskan dalam rajah) tidak mengejutkan.

Negara-negara ini sudah lama menerapkan visi strategik nasional yang serupa (bukan dasar) dalam menunggang era 4IR dan menggunakannya untuk memastikan kehidupan masyarakat yang paling inklusif tanpa mengecualikan sesiapa pun.

Negara-negara ini juga sudah lama menghayati hakikat sebenar bahawa politik identiti dan rasuah adalah bertentangan dengan komitmen bersama terhadap cita-cita sejagat.

Terdapat kemungkinan bahawa inovasi teknologi merupakan pemboleh ubah ketiga yang penting dalam mendorong negara-negara ini untuk sampai ke puncak seperti yang digambarkan dalam rajah di atas.

Mereka telah mempelajari cara untuk menerapkan alat 4IR bagi mengatasi rasuah dan politik identiti yang meracuni masyarakat melalui model ketelusan yang radikal, kebertanggungjawaban dan pemerintahan yang partisipatif, diaktifkan oleh teknologi 4IR.

Kekurangan amalan rasuah dan perpaduan nasional yang tinggi dapat menghasilkan inovasi yang lebih banyak, dan begitulah penciptaan kitaran kemakmuran yang baik!

Sementara itu, kita juga dapat lihat bahawa Malaysia berada betul-betul di tengah rajah yang juga diibaratkan seperti Malaysia berada di persimpangan jalan di mana rakyat Malaysia harus membuat keputusan yang amat penting dan serius.

Adakah kita akan membiarkan politik identiti dan rasuah membayangi semua kepentingan bersama? Atau adakah kita akan memilih untuk menggerakkan usaha bersama dan membasmi kejahatan berkembar ini secara habis-habisan di setiap peringkat?

Dr Margarita Peredaryenko merupakan Ketua Pegawai Kajiselidik EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.