PENGERUSI Melaka United Football Club Sdn Bhd, Datuk Seri Sulaiman Md Ali percaya KenTeam akan memberi nafas baharu dalam misi membawa Melaka United FC ke satu tahap dibanggakan khususnya dalam industri bola sepak.
"Kehadiran KenTeam Sdn Bhd untuk bersama MUFC Sdn Bhd adalah bagi memperkasakan lagi MUFC menjadi antara kelab yang lebih berdaya saing pada masa depan.
"Ini secara tidak langsung memberi nafas baharu kepada bola sepak Melaka dalam misi membawa Melaka United FC ke satu tahap yang boleh dibanggakan khususnya untuk Melaka dalam industri bola sepak.
"Semoga hubungan yang terjalin antara MUFC dan KenTeam katanya dapat terus diperkukuh demi membawa kemajuan bola sepak negeri Melaka,” kata Sulaiman yang juga Ketua Menteri Melaka.
Sulaiman berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Melaka United Football Club Sdn Bhd dan syarikat pengeluar sarung tangan, KenTeam Sdn Bhd di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Pada majlis itu, Melaka United FC Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Saiful Md Sapri manakala KenTeam Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Justin Lim.
Menerusi perjanjian itu, KenTEAM bakal memegang sejumlah saham syarikat MUFC dalam misi membawa bola sepak Melaka ke tahap lebih baik pada masa depan.
Dalam pada itu, Justin Lim berterima kasih kepada Sulaiman yang memberikan peluang kepada KenTeam untuk menyertai Melaka United Football Club dan membantu menaikkan imej bola sepak Melaka.
Katanya, KenTeam berminat selepas menilai potensi Melaka United FC sebagai antara kelab yang beraksi dalam Liga Super yakni saingan liga bola sepak teratas negara yang berpotensi menjadi sebuah kelab bola sepak yang disegani dan terkemuka di negara ini.
Turut berlangsung pelancaran jersi ketiga Melaka United FC yang menggunakan warna biru berjalur serta pelancaran bas rasmi MUFC yang bakal digunakan skuad Hang Tuah tersebut.