PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel bangga dengan aksi yang dipamerkan ketika The Blues menewaskan FC Porto 2-0 pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis.
Menurut Tuchel kejayaan berkenaan turut membuktikan bahawa skuad kendaliannya itu mampu bangkit setelah tewas 2-5 kepada West Bromwich Albion dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), minggu lalu.
"Sejak kekalahan dengan West Brom kami sudah bersedia untuk bangkit kerana bagi kami kebangkitan adalah cabaran terbesar dalam sukan bola sepak; namun ia (bangkit) berjaya dilakukan kali ini.
"Kami telah menerima pelbagai keputusan bersama-sama, menerima kekalahan bersama-sama dan kemudiannya memberikan respon terhadap kekalahan itu bersama-sama.
"Bagi saya, perkara-perkara seperti inilah yang menjadikan kami lebih rapat dan saling mempercayai antara satu sama lain,” katanya.
Pemain Chelsea, Mason Mount membuka jaringan buat The Blues pada minit ke-32 sebelum Ben Chilwell menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan pada minit ke-85.
Kedua-dua pasukan bakal berentap sekali lagi pada aksi suku akhir kedua 14 April ini bagi menentukan pasukan mana yang bakal mara ke separuh akhir.
Sementara itu pengendali Porto, Sergio Conceicao menyifatkan skuad kendaliannya itu tewas kepada sebuah pasukan yang banyak menampilkan pemain-pemain ternama pada perlawanan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan pemerhatian, pemain Porto dilihat beraksi lebih baik berbanding Chelsea.
"Kita tahu kekuatan Chelsea. Mereka ada ramai pemain ternama separti" Christian Pulisic, Olivier Giroud, N'Golo Kante mahu pun Thiago Silva.
"Walau pun tewas, tapi kami kini berada pada pertengahan sebuah pertandingan dan kami mahu memberikan fokus kepadanya,” katanya.