Anak teruja barang 'online' sampai, rupanya...

Iklan
Beberapa item yang dibeli Luth tanpa pengetahuan ibu dan bapanya. - Foto Facebook Sharifah

SHAH ALAM -"Patutlah setiap kali barang saya sampai, dia nak buka, cakap barang dia, rupanya...".

Begitulah luahan seorang ibu, Sharifah Cut Nur Hastaty Said Nasir, 28, sebaik mendapat tahu anak sulungnya, Luth Harris Aufa berusia 4 tahun membeli barang permainan secara dalam talian tanpa pengetahuannya.

Iklan
Iklan

Begitupun, Sharifah bersikap tenang dan tidak mudah melatah walaupun mendapat tahu jumlah keseluruhan perbelanjaan yang dibelanjakan anaknya sebanyak RM700.

Sharifah berkata, pada awalnya dia berasa hairan kerana secara tiba-tiba ada penghantaran barang pada 18 Mac lalu meskipun dia atau suami tidak membeli sebarang produk daripada syarikat e-dagang.

Iklan

"Suami ada bertanyakan kepada saya, adakah saya yang membeli barang untuk anak-anak kerana melihat ada penghantaran barang permainan kanak-kanak.

"Saya jawab memang tidak beli, kemudian suami melihat akaun dan terkejut senarai pembelian barang hingga mencecah RM700. Namun suami sempat melakukan pembatalan pembelian selebihnya iaitu RM200," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan
Sharifah bersama Luth (kiri) dan keluarganya. - Foto Facebook Sharifah

Ibu kepada dua anak ini memberitahu, Luth melakukan pembelian barang-barang terbabit ketika menonton YouTube kerana pada masa sama iklan terpapar pada video berkenaan.

"Anak saya memang tidak pandai membuka portal syarikat e-dagang tetapi puncanya ketika dia bermain 'game' dan menonton video di YouTube. Ini kerana terdapat paparan iklan yang menarik perhatiannya. Bila keluar iklan mainan kegemaran, dia terus 'klik dan beli'.

"Suami juga tidak menerima sebarang Kod Pengesahan Transaksi (TAC) atau sebarang pemberitahuan dari syarikat berkenaan. Tetapi kami sempat batalkan beberapa item dan sehingga kini masih ada beberapa item belum sampai kerana barang itu dari luar negara," katanya.

Selepas kejadian berkenaan, dia dan suami mengambil pendekatan lebih berwaspada kerana bimbang perkara sama berulang kembali.

"Hendak marah pun dia masih kecil, cakap masih pelat lagi. Tetapi kejadian ini menjadi pengajaran buat kami untuk lebih berhati-hati dan menasihatkan dia agar tidak sesuka hati 'klik' sebarang iklan," ujarnya.

Baru-baru ini paparan Facebook Sharifah tular di laman sosial setelah memuat naik kisah anak lelakinya yang membeli barang-barang atas talian dengan jumlah keseluruhan RM700 tanpa pengetahuannya.