Ramai tertipu beli barang kemas tidak wujud

Iklan
Zainuddin Yaacob

KUALA LUMPUR - Sebanyak 37 kes penipuan penjualan barang kemas tidak wujud direkodkan dengan jumlah kerugian RM239,530 bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, berdasarkan kajian, penipuan kes ini antara kes penipuan tertinggi yang dilaporkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan laporan statistik pada 2019, sebanyak 21 kes dilaporkan membabitkan kerugian berjumlah RM148,444.

"Jumlah itu meningkat kepada 44 kes pada tahun lalu dengan kerugian RM261,954 manakala bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sebanyak 37 kes direkodkan dengan jumlah kerugian RM239,530,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, peningkatan jumlah kes yang direkodkan perlu ditangani dengan serius.

Katanya, perkembangan teknologi dan komunikasi mewujudkan peluang perniagaan secara dalam talian kerana akses mudah dan tanpa had khususnya ketika negara berdepan penularan pandemik Covid-19 sekali gus menjadikan platform e-dagang menjadi pilihan pengguna.

Iklan

"Namun, perkembangan ini juga turut mewujudkan jenayah penipuan penjualan barangan tidak wujud,” katanya.

Justeru, orang ramai digesa untuk sentiasa berhati-hati serta berwaspada dalam urusan jual beli barang kemas secara dalam talian dan usah mudah percaya dengan tawaran jualan barang kemas yang lebih murah dari pasaran semasa terutama apabila tawaran itu dibuat oleh pihak tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Tambahnya, orang ramai juga diminta membuat semakan ketulenan transaksi dan memastikan urusan jual beli dijalankan melalui perjanjian dan kaedah diperakui supaya tidak mudah menjadi mangsa.

"Buat semakan pengesahan akaun dan talian telefon terlebih dahulu melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ untuk mengenal pasti sama ada akaun terbabit pernah terbabit dalam kes penipuan atau tidak sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran.

"Orang ramai juga boleh berhubung dengan CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101599/1599 jika mempunyai sebarang keraguan,” katanya.