Tiada keperluan SOP baharu lawatan PDRM ke luar negara

Iklan
Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Asril Aswandi Shukor

KAJANG - Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada keperluan untuk merangka Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu bagi lawatan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke luar negara.

Katanya, prosedur sedia ada adalah memadai kerana ia memerlukan agensi kerajaan atau pegawai kerajaan yang ingin keluar negara mendapatkan kelulusan daripada kementerian melalui ketua setiausaha kementerian atau menteri sendiri.

Iklan
Iklan

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa lawatan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersama beberapa pegawai tinggi PDRM ke Turki tidak mempunyai kesalahan.

"Ia (surat oleh IGP) dikemukakan atas asas bahawa lawatan itu ditaja oleh Lembaga Totalisator Malaysia. Bagi saya tidak ada konflik atau ada apa-apa kepentingan atau keputusan yang saya buat itu tidak tepat, kerana saya tidak tahu sumber mana lembaga itu mendapat kewangan. Fakta yang ada lembaga ini bukan kali pertama buat begitu (menaja lawatan)," katanya kepada pemberita hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang di sini.

Kementerian Dalam Negeri dilaporkan telah meluluskan lawatan kerja Mohamad Fuzi dan beberapa pegawai tinggi PDRM ke Turki sebagai satu daripada usaha untuk menangani masalah perjudian dalam talian.

Iklan

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kemudian berkata, lawatan itu tidak ditanggung oleh kementeriannya tetapi oleh Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia, yang merupakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan, yang mana syarikat itu mendapat sumber kewangan daripada syarikat nombor ramalan (Da ma cai).

Muhyiddin berkata beliau sedar rakyat mahu kementeriannya membuat keputusan yang tepat dalam setiap perkara membabitkan kepentingan negara.

"Saya tidak lihat ada salah dalam soal ini, dan kalau ada pihak kata tidak betul, boleh adu pada mana-mana pihak dan saya sedia menjawab," tambahnya.

Mengenai sama ada wujud keperluan untuk melindungi pihak yang membuat dakwaan terdapatnya salah laku hakim-hakim kanan, Muhyiddin berkata, pihaknya akan melihat terlebih dahulu sama ada perlunya langkah tersebut.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer dalam afidavitnya setebal 63 muka surat pada Khamis, sebagai sokongan kepada permohonan oleh peguam Sangeet Kaur Deo, mendedahkan, antara lain, butiran yang mengejutkan mengenai beberapa kejadian campur tangan hakim dalam badan kehakiman di Malaysia.

Sangeet telah memfailkan saman pemula berhubung dakwaan campur tangan badan kehakiman termasuk dalam keputusan kes Akta Hasutan bapanya, mendiang Karpal Singh. - Bernama