Stesen kargo ECRL rancakkan ekonomi Kelantan

Iklan
Ahmad (kanan) beramah mesra dengan peniaga di Pasar Awam Siti Mariam, Pasir Tumbuh, Kota Bharu pada Khamis.

KOTA BHARU - Kewujudan stesen kargo di negeri ini menerusi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mampu merancakkan lagi perkembangan ekonomi Kelantan pada masa hadapan.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, ia bertepatan dengan budaya penduduk di negeri ini yang suka berniaga.

Iklan
Iklan

"Bila ada perkhidmatan ini (kargo), rakyat dapat memasarkan produk perniagaan mereka dengan lebih cepat ke ibu kota.

"Ia sekali gus mampu memberikan impak baik pada ekonomi setempat," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pasar Awam Siti Mariam dan Penyerahan Kuarters Kerajaan oleh MSO kepada Kerajaan Negeri Kelantan di Pasir Tumbuh pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, rakyat disarankan supaya merebut sebaik mungkin manfaat di bawah projek ini dalam meningkatkan lagi kegiatan ekonomi mereka.

Beliau berkata, ECRL dijangka akan menjadi salah satu mercu tanda baharu di negeri ini pada masa depan.

Iklan

Kerajaan Kelantan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 8 November lalu menjelaskan, dua stesen ECRL akan dibina di Pasir Puteh dan Kota Bharu.

Jajaran ECRL di negeri ini melibatkan jarak 43.86 kilometer (km) membabitkan Kota Bharu (stesen penumpang) dan Pasir Puteh untuk penumpang serta kargo.