Bicara kes ADUN Tronoh tangguh, tiga saksi positif Covid-19

Iklan
Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan perbicaraan kes rogol pembantu rumah membabitkan ADUN Tronoh, Paul Yong (dua, kanan) berikutan tiga saksi pendakwaan disahkan positif Covid-19. - Foto Bernama

IPOH - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menangguhkan perbicaraan kes rogol pembantu rumah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong berikutan tiga saksi pendakwaan disahkan positif Covid-19.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menetapkan selama lapan hari iaitu 23 hingga 25 Jun dan 12 hingga 16 Julai sebagai tarikh perbicaraan bagi menyambung prosiding pada Khamis yang ditangguhkan pada kira-kira 12 tengah hari.

Iklan
Iklan

Mahkamah membuat ketetapan itu selepas pihak pendakwaan memohon agar kes ditangguhkan ke tarikh lain kerana tiga orang saksi yang bertanggungjawab ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sedang dikuarantin.

Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Datuk Jamil Aripin berkata, ketiga-tiga saksi polis itu bertanggungjawab ke atas rakaman CCTV yang merupakan antara bukti utama pihak pendakwaan.

Iklan

"Tanpa tiga saksi ini dipanggil, kami tidak boleh memanggil saksi lain untuk menunjukkan rakaman tersebut," katanya.

Abdul Wahab turut menetapkan 28 Mei depan bagi serahan jawapan pihak pembelaan dan keputusan berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk dua saksi mengemukakan keterangan mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009.

Iklan

Terdahulu, perbicaraan hari keempat pada kira-kira 10.30 pagi dimulakan dengan keterangan saksi pendakwaan kelapan iaitu Asisten Superintendan Razak Sulaiman yang menahan Paul Yong ketika tertuduh hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh kira-kira 9 malam pada 9 Julai 2019.

Mahkamah kemudian memanggil saksi kesembilan iaitu Thong Wan Cheng, 54, yang merupakan setiausaha di agensi pekerjaan pembantu rumah yang terletak di Bercham.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi, Wan Cheng memberitahu, pada 8 Julai 2019 kira-kira 11 pagi, operator agensi pekerjaan itu menerima panggilan dari penerima aduan di Jabatan Tenaga Kerja, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur, Riki Sapari yang memaklumkan dia dihubungi mangsa dan mendakwa telah dirogol majikannya.

"Saya telah menghubungi Riki semula melalui aplikasi WhatsApp selepas dia tidak menjawab panggilan saya dan Riki meminta saya membuat laporan polis serta pergi menyelamatkan mangsa di rumah majikannya," kata saksi.

Wan Cheng bagaimanapun berkata, pemandu dan staf kaunselor agensi pekerjaan itu yang pergi ke rumah Paul Yong pada kira-kira 1.30 tengah hari diberitahu bahawa mangsa berusia 24 tahun itu sudah tidak lagi berada di rumah berkenaan selain sejambak kunci rumah tersebut turut hilang.

Pihak pendakwaan diketuai Jamil dengan dibantu Liyana Zawani dan Ainul Wardah Shahidan sementara pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Rajpal Singh.

Paul Yong, 51, yang menghadapi pertuduhan merogol mangsa di kediamannya di Meru Desa Park pada 7 Julai 2019 antara 8.15 malam dan 9.15 malam, pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.

Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pihak pembelaan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Kes rogol ADUN: Saksi sahkan terdapat dua kesan koyakan baharu

Bicara kes rogol Paul Yong bermula