KUALA LUMPUR - Seorang bayi lelaki berusia dua bulan dilaporkan meninggal dunia di rumah pengasuh di sebuah apartmen di Setiawangsa di sini pada Rabu.
Ibu mangsa, Nor Ariyana Md Isa, 39, berkata, dia menyedari kejadian itu apabila pengasuh menelefonnya dan memaklumkan anaknya, Mohammad Shiraz Nabhan Shahril tidak sedarkan diri pada jam 3.10 petang.
"Saya minta pengasuh bawa ke klinik kesihatan, sebelum saya menaiki motosikal bergegas dari tempat kerja ke klinik berkenaan.
"Doktor mengesahkan anak saya sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Nor Ariyana berkata, mayat anak bongsu daripada empat beradik itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
"Saya telah membuat laporan di Balai Polis Setiawangsa untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu memaklumkan pengasuh berusia 50-an yang juga kenalan keluarga mangsa menyedari bayi berkenaan tidak sedarkan diri setelah cuba mengejutkannya yang sedang tidur untuk diberi susu.
"Apabila melihat keadaan bayi yang tidak bergerak, pengasuh tersebut telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Dato Keramat untuk bantuan lanjut.
"Apabila sampai di klinik, doktor telah cuba untuk membuat bantuan pernafasan kecemasan (CPR), tetapi mangsa tidak memberikan respon dan disahkan telah meninggal dunia," katanya.
Ashari berkata, siasatan di tempat kejadian dan di tubuh bayi tersebut tidak menemui sebarang tanda yang mencurigakan dan kesan kecederaan.
"Ibu mangsa reda dengan kejadian yang menimpa bayinya. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Ashari memaklumkan punca kematian masih dalam siasatan dan bedah siasat akan dibuat setelah keputusan swab Covid diperolehi.