JEMPOL - Hanya polis yang boleh menentukan kesahihan rakaman audio perbualan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sepertimana yang tular di media sosial pada Rabu.
Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Mohd Salim Sharif berkata, sesiapa sahaja boleh membuat penilaian, namun penilaian yang sebenar adalah daripada pihak polis.
"Sebagai ahli UMNO kita nak tahu ia suara benar atau tak, tapi Presiden (Datuk Zahid) sudah pun membuat penafian.
"Bagi saya kita tunggu lah laporan forensik polis mengenai kesahihan rakaman audio itu. Kita mungkin boleh menilai suara itu kesahihannya mencapai 90 peratus, tapi biarlah siasatan dilakukan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur dan Pelancaran Gerakan Semburan Penyakit Pestalotiopsis di Ladang Tanaman Semula Berkelompok (TBS) Kampung Lonek di sini pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman audio: SKMM, CyberSecurity belum terima laporan
Menurutnya, beliau berharap siasatan secara telus dapat dilakukan kerana kedua-dua pemimpin yang terlibat sudah pun membuat penafian.
Salim turut memberitahu yang beliau sudah beberapa kali mendengar rakaman audio berkenaan dan ramai dalam kalangan ahli UMNO yang bertanya pandangannya mengenai perkara itu.
"Saya pun jadi serba salah dibuatnya. Tapi bagi saya kita serah saja pada polis untuk buat siasatan," katanya.
Pada Rabu, tular di laman sosial rakaman suara panggilan telefon berdurasi empat minit 17 saat mirip Anwar yang memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO 2020.
Bagaimanapun Ahmad Zahid menyangkal dakwaan penglibatannya di dalam rakaman suara tersebut, begitu juga dengan Anwar.