KUALA LUMPUR - Selepas setahun menjadi platform bagi kempen Malaysia #QuranTime dan My #QuranTime, saluran televisyen perdana TV Alhijrah kini akan melaksanakan pula kempen al-Quran Wakaf.
Sehubungan itu selaku penerima al-Quran wakaf, TV Alhijrah akan mewujudkan Quran Corner di bangunan syarikat berkenaan selari dengan kempen tersebut.
Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat, TV Alhijrah Saifulizan Sidek berkata, tiga bahagian di aras studio, unit kandungan dan produksi serta pejabat telah dikenalpasti sebagai lokasi Quran Corner.
"Pihak kami khususnya di unit kandungan dan produksi memang memerlukan al-Quran sepanjang masa sebagai sumber rujukan dalam tugas harian.
"Dengan adanya Quran Corner, ini memudahkan para staf untuk memanfaatkan al-Quran tersebut pada bila-bila masa.
"Terima kasih kepada para pewakaf yang sudi memanjangkan rezeki mereka untuk berwakaf al-Quran. Semoga pahala mereka dalam mewakafkan al-Quran terus mengalir,” katanya dalam kenyataan selepas menerima tiga set Al-Quran Wakaf pada Khamis.
Majlis penyerahan disempurnakan Eksekutif Wakaf, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Megat Zamzuri Rasla.
Hadir sama, Eksekutif Komunikasi Korporat TV Alhijrah, Muhammad Sazri Abd Sani dan Norhaniza Mat Husain serta Eksekutif Kanan Rumah Ngaji WUIF, Marawaty Abdul Haris.
Menurut Saifulizan, TV Alhijrah dianggap sebagai ladang ilmu apabila mendidik masyarakat untuk berhijrah ke arah lebih baik.
"My #QuranTime merupakan signatur program di TV AlHijrah. Sambutan penonton terhadap program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal sangat menggalakkan.
"Selain disiarkan saluran Astro 114, penonton boleh ikuti My #QuranTime di platform media sosial termasuk Facebook TV Alhijrah,” katanya.