PEMAIN perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia menerima ‘durian runtuh’ berbentuk 1,000 saham F&N (Fraser and Neave Group) bernilai RM30,300 susulan kejayaan sensasi menjuarai Kejohanan Seluruh England 2021 di Birmingham bulan lepas.
Sumbangan daripada 100PLUS itu disampaikan kepada Zii Jia oleh Pengerusi F&N Holdings Berhad, Tengku Syarif Bendahara Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Badarudin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif F&N Holdings Berhad Lim Yew Hoe dalam satu majlis ringkas pada Khamis.
Pengurus Pemasaran Kanan 100PLUS, Leong Wai Yin menyifatkan kejayaan Zii Jia yang juga duta minuman isotonik itu, sungguh menakjubkan terutamanya ketika menewaskan dua pemain terbaik dunia, Kento Momota dari Jepun di peringkat suku akhir dan Viktor Axelsen (Denmark) pada final di Utilita Arena.
"Pada majlis menandatangani kontrak Januari lepas, Zii Jia menyatakan sokongan 100PLUS akan membantu mendorong beliau untuk mencapai kejayaan lebih baik. Beliau memenuhi janjinya dan sekarang merupakan juara All England,” kata Wai Yin dalam satu kenyataan.
Pemain berusia 23 tahun itu menyingkirkan Momota 21-16, 21-19 pada suku akhir dan Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 di final untuk muncul juara Seluruh England 2021.
Sebelum menjuarai kejohanan tersebut, pemain dari Alor Setar itu menumpaskan pemain Belanda, Mark Caljouw di peringkat separuh akhir 21-13, 21-17.
Wai Yin juga menaruh harapan bahawa prestasi dan keyakinan pemain nombor lapan dunia itu akan terus berada di tahap tinggi menjelang Terbuka Malaysia yang dijadual bulan depan dan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Julai ini.
Selain Zii Jia, legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan pasangan beregu negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik juga merupakan duta 100PLUS. - Bernama