KURANG lima hari lagi umat Islam akan menjalani ibadah puasa. Bagaimanapun keadaan dan cabaran kita ketika ini, Rukun Islam kelima itu perlu ditunaikan dengan sempurna.
Apabila tibanya Ramadan, pasti tergambar kemeriahan berbuka puasa bersama orang tersayang terutamanya mereka yang berada di kampung. Tidak dapat dinafikan, kerinduan bersama insan tersayang menyambut Ramadan sangat dinanti-nantikan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang bujang dan tinggal berjauhan dengan ibu ayah. Suasana bersahur dan berbuka puasa bersama-sama itulah paling dirindui.
Jika tahun lalu, rakyat Malaysia 'diikat’ dengan tidak dibenar melakukan pergerakan rentas negeri, bagaimana pula keadaannya pada tahun ini?
Kerajaan dilihat seolah-olah dalam dilema, ibarat 'ditelan mati mak, diluah mati bapa’. Hendak dibenarkan merentas negeri, bimbang kes positif Covid-19 akan naik mendadak, namun jika tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman, kerajaan mungkin akan berdepan dengan kecaman rakyat.
Setelah lebih setahun negara menghadapi pandemik Covid-19, kita masih belum menang. Ada banyak lagi fasa yang perlu dilalui walaupun Malaysia sekarang ini berada dalam Program Imunisasi Kebangsaan (PIK). Perlu diingatkan bahawa Covid-19 masih ada dalam komuniti kita.
Oleh sebab itulah, jumlah kes baharu masih lagi mencecah pada paras empat angka walaupun vaksin Covid-19 sudah berjaya dimiliki.
Setakat 4 April lalu, sebanyak 787,504 dos vaksin Covid-19 sudah diberi kepada penerima melibatkan sebanyak 508,481 dos pertama dan 279,023 dos kedua.
Jumlah tersebut menyaksikan sasaran fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk memvaksin sekurang-kurang 500,000 petugas barisan hadapan berjaya dicapai.
Vaksin
Memandangkan sasaran untuk memberi vaksin kepada barisan hadapan dapat dicapai, adakah pintu rentas patut dibuka semula untuk menyambut Ramadan?
Bagaimana pula dengan nasib rakyat marhaen yang masih belum menerima vaksin? Apakah tahap jaminan keselamatan buat diri mereka?
Ada suara-suara nakal yang menyuarakan pendapat agar membenarkan mereka yang sudah divaksin untuk merentas negeri, manakala yang belum menerima vaksin dilarang berbuat demikian.
Jika alasan itu diambil kira, ia pasti akan membuat rakyat Malaysia memberontak kerana pemilihan untuk menerima vaksin berkenaan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bukan suka-suka boleh datang untuk terima suntikan atau beli di mana-mana klinik.
Bagi penulis, tidak adil jika perkara tersebut diambil sebagai pertimbangan kerana itu bukan pilihan mereka, sebaliknya ditentukan oleh KKM.
Kalau benarlah hanya mereka yang telah menerima vaksin boleh merentas negeri sempena menyambut bulan Ramadan, ia dianggap sebagai keputusan berat sebelah.
Namun, persoalannya, selamatkah jika mereka dibenarkan pulang ke kampung bertemu ibu bapa dan sanak saudara selepas ini kerana ada ahli keluarga di kampung masih tidak menerima vaksin?
Sebaik-baiknya, kerajaan perlu menutup terus pintu rentas negeri kepada semua rakyat dan memberi fokus kepada PIK yang sedang dilaksanakan bagi membolehkan kita balik beraya di kampung pada tahun ini.
Bagi penulis, balik berhari raya di kampung lebih bermakna kerana tahun lalu kita tidak dapat balik akibat PKP.
Tetapi pada masa yang sama, kita bimbang jika dibenarkan rentas negeri pada bulan Ramadan, akan berpusu-pusulah rakyat jelata pulang ke kampung. Khuatir pula kes Covid-19 akan naik semula, pelbagai kluster muncul dan sekali lagi kita tidak dapat pulang beraya di kampung.
Apa pun keputusan dan saranan kerajaan, haruslah kita terima dengan hati yang terbuka dan reda. Setiap keputusan yang diambil pasti telah diteliti demi kepentingan dan keselamatan bersama. Ingatlah, mencegah itu lebih baik daripada merawat.
* Sarinah Mat Kasim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Melaka dan Negeri Sembilan