Manipulasi suspek terhadap mangsa

Iklan

SHAH ALAM - Kurangnya kefahaman dalam diri mangsa berkenaan dengan kesalahan perbuatan sumbang mahram menjadi antara faktor utama yang menyebabkan berlakunya kes sedemikian dalam sesebuah keluarga.

Aktivis kanak-kanak/sosial, Syed Azmi Alhabshi berkata, berdasarkan pengalamannya menguruskan kes sedemikian, selain daripada mengandung, banyak kejadian sumbang mahram yang berlaku hanya terbongkar apabila mangsa sudah berusia 20 ke 30 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain daripada menaruh kepercayaan kepada si pelaku, tindakan mangsa merahsiakan perlakuan itu lazimnya disebabkan mereka tidak mempunyai pendidikan yang secukupnya untuk mempertahankan diri.

"Disebabkan mereka tidak mempunyai pengetahuan mengenai apa itu seksualiti, mereka menyimpan rahsia sampai tidak dilaporkan. Kecuali kalau dia tiba-tiba dah sampai mengandung atau bila budak itu dah besar baru dia beritahu.

Iklan

"Dan kenapa jadi macam itu, sebab dia tidak akan lupa apa yang berlaku pada diri dia, cumanya dia keliru dan tidak faham apa berlaku pada dirinya. Tapi bila dia besar baru dia tahu benda tu salah. Walaupun kanak-kanak ini dah tahu benda dilakukan ini salah tapi dia tak tahu macam mana nak suarakan sebab orang yang lakukan sumbang mahram ini adalah orang yang kita percaya,” katanya kepada Sinar Harian.

Syed Azmi berkata, pemangsa yang melakukan perbuatan sumbang mahram merupakan mereka yang memiliki kedudukan yang lebih atas dalam hierarki keluarga seperti ayah kandung, ayah tiri, datuk dan sepupu.

Iklan

Disebabkan itu, beliau berkata, kebanyakan individu yang melakukan perbuatan terkutuk itu berbuat demikian kerana merasa yakin mangsa akan menyimpan rahsia berkenaan perlakuan tersebut.

"Jadi, cara bagaimana mereka berjaya merahsiakan perbuatan itu antaranya adalah dengan buat grooming tanpa sentuhan seksual, maknanya dia membina kepercayaan sahaja.

"Tetapi lepas itu ada yang menggunakan ugutan, ada yang mengeluarkan cerita sedih sebagai contoh, mereka akan cakap kalau mangsa beritahu ibunya, nanti ayah (pemangsa) kena masuk penjara, nanti ayah kena buang kerja dan membuatkan anak itu rasa bersalah.

"Ini semua manipulasi yang digunakan oleh pemangsa untuk menormalkan supaya kanak-kanak itu tidak buat laporan,” katanya.

Sehubungan itu, Syed Azmi berkata, langkah yang paling penting perlu dilakukan untuk mengatasi kejadian tersebut adalah dengan cara memberikan penekanan kepada usaha untuk mendidik kanak-kanak mengikut peringkat umur bermula daripada usia dua tahun.

"Dalam mendidik benda-benda macam ini ia tidak bergantung kepada pendidikan yang formal sahaja, ia perlukan yang informal juga yang mana semua ahli keluarga termasuk ibu bapa, abang, kakak dan adik semua terlibat.

"Untuk peringkat awal, ia tidak perlu menerangkan mengenai apa itu rogol atau zina kerana itu lebih kepada situasi. Pendidikan pada peringkat awal itu boleh bermula dengan mengajar tanda hormat, tanda perasaan, persepsi sebagainya.

"Itu adalah benda asas yang perlu diajar oleh semua orang,” ujarnya.