SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak akan melindungi mana-mana pesalah yang didapati terlibat dengan isu pajakan tanah di Ladang Tennamaram, Bestari Jaya.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli berkata, kerajaan negeri juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara itu demi menjunjung prinsip reformasi yang berteraskan ketelusan dan akauntabiliti kepada semua.
Beliau berkata, berikutan itu, kerajaan Selangor akan memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak berkuasa berhubung siasatan isu tersebut.
"Selari dengan nilai-nilai seperti kebertanggungjawaban dan ketelusan, pentadbiran Selangor tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang elemen rasuah serta salah guna kuasa di semua peringkat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan kira-kira 300 peneroka di Ladang Tannamaram, Bestari Jaya mengadakan perhimpunan aman membantah tindakan kerajaan negeri memberikan pajakan kepada tiga syarikat tanpa sebarang perbincangan dengan mereka yang mengusahakan tanah itu sejak lebih 40 tahun lalu.
Bantahan itu dilakukan peneroka di dua kawasan iaitu di Ladang Tanjong Pasir dan Kampung Seri Makmur.
Mengulas lanjut, Juwairiya berkata, kerajaan negeri amat memandang serius berhubung perkara itu dan siasatan dalaman juga sedang dilakukan buat masa ini.
"Siasatan dalaman dan semakan terperinci sedang dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor," katanya.