MIBEK formula bangunkan ekonomi luar bandar

Iklan
Nordin Abdul Malek

TELUK INTAN - Model dan Inisiatif Baharu Ekonomi Komuniti (MIBEK) diyakini mampu menjadi formula dalam usaha menggerakkan pembangunan ekonomi luar bandar di Perak.

Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW), Nordin Abdul Malek berkata, mengambil sedikit sebanyak ramuan kejayaan My Kampung My Future yang dilaksanakan di Mukim Pulau Tiga, di daerah Perak Tengah, MIBEK kini sedang dan akan dilaksanakan di enam daerah di negeri ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelaksanaan MIBEK digerakkan oleh komuniti dengan panduan dan usaha bersama daripada jabatan serta agensi kerajaan berkaitan.

"Model mesti dikembangkan ke daerah lain kerana kita mendapat permintaan yang begitu banyak dari daerah-daerah lain yang telah datang ke Pulau Tiga dan mahukan kampung mereka juga mempunyai pembangunan seumpama itu.

Iklan

"Malah kita telah pun cadangkan kepada kerajaan negeri memandangkan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad juga sudah beberapa kali datang melawat dan menilai sendiri program berkenaan sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, MIBEK merupakan satu konsep membangunkan gerak kerja pertanian, industri makanan dan aktiviti luar bandar yang dapat menarik minat khususnya golongan muda untuk tinggal di kampung.

Iklan

Katanya, pelaksanaan model itu perlu menjadi sebahagian daripada fokus pembangunan ekonomi khususnya di luar bandar negeri ini yang mampu menyelesaikan isu kemiskinan B40 seterusnya merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar di negeri ini.

"Pembangunan ekonomi di kampung-kampung jauh ketinggalan termasuk dari segi infrastruktur. Kita juga mengharapkan kegiatan ekonomi baharu ini perlu berteraskan kepada teknologi masa depan dengan penggunaan tanah secara optimum dan penerokaan kepada industri baharu khususnya dalam industri hiliran.

"Negeri Perak memerlukan satu fokus baharu yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat akar umbi tetapi pada masa membentuk satu kegiatan ekonomi pertanian luar bandar bersifat komersil dan bertaraf antarabangsa. Perkara itu tidak mustahil untuk dilakukan," katanya.

Nordin berkata, perkara paling penting, model tersebut harus mendapat perakuan dan sokongan daripada kerajaan negeri dan Pusat supaya ia dapat diperluaskan pelaksanaannya ke seluruh Perak.

Dalam pada itu, menurut beliau, melalui MIBEK ini juga, sukarelawan dan pemimpin muda yang berkaliber di kampung-kampung akan dapat dilahirkan supaya mereka boleh menjadi pemimpin dan memimpin generasi muda pada masa depan

Jelasnya, sejak penularan Covid-19 kecenderungan masyarakat termasuk orang muda untuk balik ke kampung menyertai sektor pertanian sangat tinggi.

"Saya yakin kalau kita dapat mencipta suasana yang meyakinkan, menyeronokkan kepada orang muda ini dengan menyediakan satu sistem terancang dan komprehensif, mereka akan terus tinggal di kampung dan akan memajukan kampung.

"Jadi sudah tiba masanya kita menyusun semula kampung itu supaya ia hidup sebagai satu komuniti yang bersepadu, progresif dan produktif. Saya yakin gerak kerja ini boleh membantu meningkatkan pembangunan dan kemajuan negeri Perak itu sendiri," katanya.

Nordin berkata, antara daerah yang telah kenal pasti bagi melaksanakan MIBEK adalah Perak Tengah, Bagan Datuk, Muallim, Kuala Kangsar, Kerian dan Batang Padang.

Katanya, pelaksanaan MIBEK juga tidak melibatkan kos yang besar mahupun penerokaan sumber semula jadi di negeri ini sebaliknya memperkasa sumber sedia ada.