PTPTN, Ambank hargai peminjam

Iklan
PTPTN menerima jumlah keseluruhan bayaran melalui saluran JomPAY berjumlah RM48.8 juta.

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Kumpulan AmBank bersama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) menjalinkan kerjasama bagi menggalakkan peminjam PTPTN membuat bayaran balik pinjaman melalui saluran dalam talian JomPAY.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, menerusi kerjasama itu, Peraduan JomPAY and Win! telah diadakan pada 1 November 2020 sehingga 31 Januari 2021 yang lalu.

Iklan
Iklan

Menurut Ahmad Dasuki, sepanjang peraduan itu berlangsung, seramai 179,871 peminjam telah melaksanakan bayaran balik pinjaman PTPTN melalui saluran JomPAY.

"Ia melibatkan jumlah keseluruhan bayaran yang diterima melalui saluran JomPAY berjumlah RM48.8 juta dan seramai 78,498 peminjam layak menyertai peraduan ini.

Iklan

"Kolaboratif ini adalah bukti komitmen dan kesungguhan PTPTN untuk memastikan peminjam dapat melaksanakan bayaran balik pinjaman dengan cepat, mudah dan selamat secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, hadiah yang disediakan kepada peminjam PTPTN adalah lumayan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM60,000 untuk 65 pemenang.

Iklan

"Hadiah pemenang utama berupa RM10,000, tempat kedua RM8,000 dan tempat ketiga RM5,000, manakala tempat keempat RM4,000 dan tempat kelima RM3,000.

"Bagi hadiah pemenang saguhati pula adalah RM500 untuk setiap 60 pemenang dan nilai hadiah yang ditawarkan ini ditaja sepenuhnya oleh pihak PayNet,” katanya.

Ahmad Dasuki berkata, AmBank telah bekerjasama dengan PTPTN sejak tahun 2017 dalam mendorong peminjam dan pendeposit melakukan pembayaran melalui saluran atas talian JomPAY di mana peminjam dan pendeposit boleh melakukan transaksi JomPAY tanpa sebarang kos.

"Dengan lebih daripada 8,000 pengebil di seluruh negara, JomPAY adalah perkhidmatan pembayaran bil dalam talian (online) terbesar di Malaysia yang menawarkan kemudahan perkhidmatan pembayaran kepada pelanggan melalui mana-mana 42 buah bank di Malaysia.

"AmBank telah mencatatkan pertumbuhan mencecah 115 peratus dalam nilai kutipan JomPAY untuk PTPTN daripada RM116,917,339 pada tahun 2017 ke RM251,707,240 pada tahun 2020. Dalam tempoh yang sama, jumlah transaksi meningkat sebanyak 186 peratus iaitu daripada 332,511 pada tahun 2017 ke 952,783 pada tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata, Peraduan JomPAY and Win! pada kali ini menawarkan hadiah wang tunai berbentuk bayaran balik pinjaman kepada peminjam.

"Bagi pemenang yang mempunyai jumlah baki pinjaman kurang daripada nilai hadiah yang dimenangi, sebarang lebihan daripada hadiah tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun simpanan SSPN-i pemenang.

"Peraduan JomPAY and Win! ini terbuka kepada semua peminjam PTPTN yang membuat bayaran balik pinjaman melalui saluran dalam talian JomPAY. Peminjam PTPTN perlu membuat bayaran balik dengan nilai minimum RM100 untuk melayakkan peminjam mendapat satu cabutan peraduan," katanya.

Katanya, PTPTN sentiasa mengalu-alukan penglibatan syarikat korporat lain untuk turut sama mengadakan kerjasama berbentuk kempen, peraduan mahupun sumbangan dalam bentuk bayaran balik pinjaman PTPTN bagi membantu peminjam PTPTN menyelesaikan pinjaman PTPTN mereka atau sebagai simpanan SSPN.

Senarai pemenang Peraduan JomPAY and Win! boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my. Pemenang juga boleh membuat semakan berkenaan wang tunai yang dimenangi di penyata pinjaman dan SSPN-i masing-masing bermula 16 Mac 2021.