RANTAU PANJANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup ayam sejuk beku bernilai RM36,060 dalam Operasi Pematuhan Import dan Eksport Keluaran Pertanian di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini pada Khamis.
Selain ayam sejuk beku seberat 7,212 kilogram (kg), Maqis Kelantan turut merampas 1,710 kilogram (kg) pelbagai jenis sosej yang dianggarkan bernilai RM7,695.
Pengarah Maqis Kelantan, Roslan Che At berkata, pihaknya turut merampas 2,106kg pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan yang dianggarkan bernilai RM3,274.
"Kesemua barangan yang dirampas ini dibawa masuk dari Thailand ke negara ini tanpa permit import yang sah daripada Maqis," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Menurutnya, semasa pemeriksaan dilakukan Maqis Kelantan mendapati pengimport menggunakan modus operandi menyembunyikan barangan tersebut bersama sayur-sayuran dan buah-buahan yang diikrar secara sah.
"Rampasan kesemua barangan seludup tersebut dilakukan hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas tiga buah lori yang melalui pintu masuk negara itu," katanya.
Roslan berkata, selain itu pihaknya turut merampas bawang merah seberat 11,068kg yang tidak mematuhi syarat import yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit atau perakuan yang sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
"Maqis Kelantan akan terus komited dalam memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih, mikroorganisma dan makanan yang diimport dan dieksport bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar dan tidak menjejaskan sektor pertanian negara serta mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan
"Langkah ini juga bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang diimport atau dieksport mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan," katanya.