Pokok Batai Laut ganti pokok ikonik

Iklan
Zainal (dua dari kanan) menunjukkan anak pokok Batai Laut setinggi dua meter yang ditanam di hadapan bangunan The Stadthuys, Banda Hilir pada Jumaat.

MELAKA - Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menanam semula anak pokok jenis Batai Laut bagi menggantikan pokok ikonik Melaka berusia 127 tahun yang tumbang pada 17 Mac lalu.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, anak pokok itu ditanam oleh penguat kuasa MBMB dengan kerjasama pakar penjagaan kesihatan pokok (arboris) bermula jam 4 petang dan selesai kira-kira tiga jam kemudian pada Selasa lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pokok dengan ketinggian dua meter akan dijaga oleh syarikat arboris yang dilantik untuk melakukan pemantauan pemeriksaan kesihatan enam bulan sekali bagi memastikan pertumbuhan dalam keadaan terancang.

"Anak pokok ini dipilih dan dipindahkan dari kawasan di Jalan Tebing Tinggi, Bukit Katil menggunakan kaedah yang disarankan oleh arboris.

Iklan

"Saya harap anak pokok Batai Laut ini dapat membesar dengan baik seperti pokok ikonik sebelum ini sekali gus mengembalikan nostalgia kepada semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar simbolik acara penanaman pokok Batai Laut di Jalan Tun Khalil Yaakob di hadapan bangunan The Stadthuys, Banda Hilir di sini pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pokok warisan Melaka berusia lebih 120 tahun tumbang

Iklan

Pada 17 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan pokok ikonik Melaka atau nama saintifiknya Peltophorum Pterocarpum berusia 127 tahun dan sering menjadi lokasi bergambar pelancong di hadapan Bangunan Stadhuys atau bangunan merah, akhirnya menyembah bumi dalam kejadian angin kencang lewat pagi Rabu.

Dalam kejadian lebih kurang jam 6.45 pagi, pokok dari jenis Batai Laut itu dipercayai ditanam sejak zaman penjajahan British pada tahun 1824 lalu.

Zainal berkata, hasil kajian awal mendapati punca sebenar pokok ikonik itu tumbang adalah disebabkan kerosakan akar yang mungkin berpunca daripada pembinaan tembok penghadang pokok di sekelilingnya.

"Akar jenis pokok ini menjalar, bila ada tembok penghadang mungkin memberikan halangan kepada akar untuk tumbuh dengan lebih sihat," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri sebelum ini menyatakan akan mempertimbangkan untuk mewujudkan jawatan khusus arboris bagi tujuan penjagaan pokok-pokok warisan.

"Kerajaan negeri mengambil perhatian kejadian pokok tumbang dan satu perbincangan akan diadakan bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dengan PBT (pihak berkuasa tempatan) bagi mewujudkan jawatan arboris.

"Kita sebagai PBT akan membuat kajian, yang mana lebih menjimatkan kerajaan negeri sama ada melantik syarikat luar atau buka jawatan tetap dalam PBT untuk pelaksanaan itu," katanya.