KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan tidak menolak kemungkinan akan mewajibkan semua rakyat negeri ini untuk mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Hussin berkata, langkah tersebut amat penting bagi memastikan rantaian pandemik Covid-19 dapat diputuskan.
Beliau berkata, ketika ini rakyat di negeri ini bagaikan tidak endah dengan 'pelawaan' kerajaan untuk mevaksinkan diri, sedangkan ia untuk kebaikan diri mereka serta orang sekeliling.
"Bukan sahaja kita akan menggalakkan, sebaliknya kita akan mewajibkan pendaftaran vaksin supaya kita dapat memutuskan rantaian Covid-19, sekali gus memulihkan sosial ekonomi kita.
"Kita akan mewajibkan kakitangan kerajaan dan keluarganya terlebih dahulu dan minta mereka mendaftar melalui mana-mana saluran disediakan kerajaan.
"Kerjasama daripada masyarakat itu sendiri yang penting. Kerajaan sudah melakukan apa yang sepatutnya, cuma tinggal kerjasama rakyat sahaja untuk kita putuskan rantaian ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas merasmikan Kempen Tukar Minyak Masak Terpakai di Mydin Kubang Kerian di sini pada Jumaat.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai jumlah kes jangkitan baharu di Kelantan yang tidak stabil, Izani berkata, kerajaan amat bimbang dengan situasi tersebut memandangkan ia bukan datang daripada kluster sedia ada semata-mata.
Menurutnya, terdapat kes yang mempunyai sejarah tersendiri dan membuktikan bahawa pandemik tersebut ada di mana-mana dan bukan hanya dijangkiti daripada mana-mana kluster.
"Kerajaan sangat bimbang tapi rakyat nampak tidak endah. Kita berharap selepas ini sama-sama beri kerjasama dan jaga kesihatan diri dengan mengamalkan makanan dan budaya hidup sihat," katanya.