JOHOR BAHRU - Seorang wanita maut dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tujuh sebuah bangunan plaza di Taman Sentosa di sini pada pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, kejadian disedari orang awam kira-kira jam 7.15 pagi yang kemudian bertindak menghubungi polis.
Susulan itu, katanya, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan Balai Polis Taman Pelangi bergegas ke lokasi kejadian bersama pasukan forensik dan pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah di sini.
"Hasil pemeriksaan dilakukan dan wanita itu disahkan maut dipercayai akibat jatuh dari tingkat tujuh bangunan berkenaan.
"Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian berkenaan. Bagaimanapun, bedah siasat akan dilakukan pada jam 9.30 pagi esok (Sabtu) bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.
Mohd Padzli berkata, waris mangsa juga sudah dihubungi dan identiti mangsa telah disahkan.
"Setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.