Empat tahun dewan sekolah tak siap-siap

Iklan
Sharifah Hazlina bersama jawatankuasa ketika melihat sendiri keadaan dewan sekolah berkenaan dalam lawatan pada 4 Mac lalu.

LUMUT - Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkalan TLDM di sini terus menanti pembinaan dewan sekolah mereka yang sepatutnya siap empat tahun lalu.

Pegawai Penyelaras Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Parlimen Lumut, Sharifah Hazlina Syed Musa Jamalullail berkata, dewan sekolah tersebut dijadualkan siap pada 30 Januari 2017 tetapi sehingga kini ia masih terbengkalai.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pelajar dan guru sekolah itu terpaksa menumpang Dewan Pangkalan TLDM Lumut yang terletak sejauh kira-kira satu kilometer dari sekolah mereka untuk kegunaan peperiksaan serta aktiviti pelajar.

"Berdasarkan tinjauan kita pada 4 Mac lalu bersama Jawatankuasa Khas Projek Sakit, dewan tersebut mendapati ia sudah sipa 80 peratus ketika ditinggalkan selama empat tahun.

Iklan

"Kegagalan projek tersebut disempurnakan menyebabkan seramai 787 pelajar bersama 66 guru terpaksa menumpang Dewan Pangkalan TLDM yang turut menempatkan seramai 3,000 pelatih tentera laut sedia ada," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Sharifah Hazlina ketika sidang akhbar pada Jumaat menunjukkan keadaan dewan yang ditinggalkan sejak Januari 2017.

Sharifah Hazlina yang juga pengerusi jawatankuasa khas itu menggesa agar dewan sekolah itu segera disiapkan bagi memastikan perjalanan peperiksaan serta aktiviti sekolah lancar tanpa perlu meminjam dewan lain.

Iklan

Menurutnya, kemudahan itu juga akan memberikan keselesaan kepada warga sekolah dan TLDM untuk menjalankan aktiviti yang dirancang.

Bagaimanapun, katanya, laporan mengenai perkara itu sudah dikemukakan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk diambil tindakan segera.

"Berdasarkan anggaran kasar, untuk menyiapkan sepenuhnya dewan tersebut memerlukan RM1 juta. Kita mengharapkan kontraktor akan dilantik untuk menyempurnakan projek itu mesti mempunyai rekod baik, selain bersedia melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap pembinaan itu seperti menyediakan pendingin hawa," katanya.

Beliau berkata, kos asal pembinaan dewan sekolah itu ialah hampir RM3 juta.

Keadaan dewan sekolah yang ditinggalkan dalam keadaan tidak siap selama empat tahun.