KUALA LUMPUR - Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaludin Abu Bakar yang mengulangi gesaan supaya pemilihan UMNO perlu diadakan berkata, kedudukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam parti tersebut semakin tidak kukuh.
Khairy berkata, ini berikutan kebocoran satu klip audio yang didakwa sebagai perbualan antara Ahmad Zahid dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Berikutan itu, beliau mengesa agar Majlis Tertinggi parti itu untuk bertemu segera dan membenarkan untuk pemilihan parti itu diadakan secepat mungkin.
"Saya rasa, ramai ahli dalam parti kurang selesa dengan perbualan telefon yang didakwa antara presiden parti kita dengan Anwar.
"Kedudukan Ahmad Zahid pada saya, kini tidak lagi kukuh dan cara terbaik untuk bergerak ke hadapan adakan pemilihan parti,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kempen Kesedaran Autisme CHAMPS-NASOM 2021 di Subang Jaya pada Jumaat.
Baru-baru ini, satu rakaman audio perbualan antara dua individu dengan suara menyamai Ahmad Zahid dan Anwar yang didakwa berlangsung selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, bocor di sosial media. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Rakaman audio didakwa mirip suara Anwar-Ahmad Zahid tersebar
Rakaman audio: Zahid, Anwar belum buat laporan polis
Audio mirip Anwar, Zahid: Gambaran jajaran baharu politik, kata Abdul Hadi