Speedy Jantan ada alasan 'tolak' 100m

Iklan
Khairul Hafiz sudah lebih setahun tidak beraksi dalam acara 100m setelah dibelenggu kecederaan pangkal paha.

PEMEGANG rekod acara pecut 100 meter (m) kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan memutuskan untuk tidak menyertai acara riben biru itu pada Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil bermula Sabtu.

Sebaliknya, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur yang terkenal dengan jolokan ‘The Speedy Jantan’ itu memilih mengambil bahagian dalam acara 400m pada kejohanan dua hari tersebut.

Iklan
Iklan

Khairul Hafiz berkata, keputusan itu disebabkan dia sudah lebih setahun tidak beraksi dalam acara berkenaan setelah dibelenggu kecederaan pangkal paha di kedua-dua belah kakinya.

"Bagi saya, 400m sebagai permulaan untuk membina semula kekuatan diri dan mental selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan awal tahun ini. Biar saya beraksi dalam acara yang menguji ketahanan dahulu.

Iklan

"Saya juga seorang pelari 400m pada awalnya dengan rekod peribadi 47.70 saat (s) dan jika saya dapat mencapai sasaran 48s pada kejohanan ini, ia petanda baik untuk kembali memberi tumpuan kepada 100m,” katanya dalam sidang media di Stadium Mini MSN pada Jumaat.

Khairul Hafiz, 22, meleburkan rekod 100m kebangsaan berusia 18 tahun milik Watson Nyambek (10.30s) dengan catatan 10.18s pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Kuching, Sarawak.

Iklan

Ketiadaan Khairul Hafiz dalam acara 100m GP Malaysia menambah kepudaran saingan acara berkenaan selepas raja pecut Asia Tenggara, Muhammad Haiqal Hanafi juga tidak mengambil bahagian susulan kecederaan buku lali.

Sementara itu, atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei yang kini menduduki ranking ke-19 dunia mengakui teruja untuk memulakan edisi kedua GP Malaysia itu sehingga sukar tidur lena selepas 14 bulan tidak menyertai sebarang kejohanan kompetitif.

"Saya hanya ingin kembali beraksi dan bersaing, kali ini matlamat saya untuk mencari semula rentak biarpun rata-rata pencabar adalah atlet junior. Sasaran saya adalah ingin mencapai lompatan antara 2.10m atau 2.15m,” jelasnya.

Lompatan setinggi 2.29m adalah rekod peribadi terbaik Hup Wei yang dilakar pada Kejohanan Olahraga Dunia 2019 sementara rekod kebangsaan acara itu dipegang seorang lagi atlet lompat tinggi Nauraj Singh Randhawa dengan catatan 2.30m. - Bernama