JOHOR BAHRU - Kehidupan harian 30 keluarga yang tinggal di flat di Taman Desa Kempas di sini jauh lebih mundur berbanding mereka yang tinggal di kampung kerana terpaksa menggunakan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.
Itu realiti terpaksa dilalui penduduk sejak tiga tahun lalu yang tidak ubah seperti hidup pada era 60-an atau 70-an.
Menurut S Vijaya Letchumi, 45, dia bersama suami, P Ananthan, 49, dan dua anaknya berusia lapan dan 11 tahun menduduki rumah yang dibeli sejak 22 tahun lalu itu selepas melihat terdapat keluarga lain tinggal di situ.
Pada mulanya mereka keberatan untuk tinggal di flat tersebut memandangkan projek itu terbengkalai lebih 20 tahun lalu selain tidak memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan ( CCC).
"Pada awalnya, kami duduk di sini menggunakan tenaga elektrik melalui pemasangan haram yang dibuat dari punca kuasa berhampiran. Namun ia telah dipotong pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas mendapat tahu penyambungan dibuat.
"Pada pertengahan 2019, kami semua terpaksa menggunakan generator untuk membekalkan tenaga elektrik bagi kegunaan untuk lampu dan kipas," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Shafuan Hamzah, 24, pula membelanjakan kira-kira RM1,000 setiap bulan bagi membeli minyak diesel dan minyak pelincir bagi penggunaan generator.
Dia yang tinggal bersama-sama lima ahli keluarga lain termasuk seorang anak saudara berusia bergantung kepada tiga mesin generator bernilai hampir RM1,000 setiap satu untuk kegunaan mereka sekeluarga.
"Kami tidak boleh menggunakan generator ini terlalu lama kerana ia mudah rosak dan perlu kerap diservis. Setiap hari kami membelanjakan kira-kira RM30 bagi minyak diesel, itu tidak termasuk menukar plug minyak pelincir yang perlu ditukar dua kali seminggu," katanya.
Sementara itu, Noraini Mohd Shah, 36, berkata, mereka sudah beberapa kali mengajukan masalah ini kepada pihak pemaju bagi mencari penyelesaian namun tidak berjaya.
Noraini yang juga Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Flat Taman Desa Kempas berkata, sebagai alternatif, mereka turut menyuarakan permasalahan tersebut kepada Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Dalam pada itu, Exco Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Dr Chong Fat Full berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pemaju serta TNB bagi menyelesaikan masalah itu.
"Apa yang menjadi masalah sekarang ini ialah pihak pemaju difahamkan tidak berhasrat untuk membuat 'substation' di sini kerana melibatkan kos tinggi selain mahu menyiapkan keseluruhan pembinaan melibatkan sembilan blok.
"Saya harap mereka tidak menunggu untuk menyiapkan keseluruhan projek (sembilan blok) sekiranya tiga blok sedia ada terabai. Masalah depan mata pun mereka tak mampu selesaikan," katanya kepada pemberita pada sesi perjumpaan dengan penduduk flat berkenaan pada Jumaat.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Johor, Datuk Teo Kok Chee.