GP Malaysia tanpa dua pelari pecut negara

Iklan
Dari kiri: Muhd Haiqal Hanafi, Zaidatul Husna

KEJOHANAN Grand Prix (GP) Malaysia di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil yang bermula Sabtu bakal hilang seri selepas jaguh pecut Asia Tenggara, Muhammad Haiqal Hanafi dan pemegang rekod lompat jauh kebangsaan, Andre Anura Anuar tidak mengambil bahagian ekoran kecederaan.

Saingan bagi kategori wanita juga dijangka hambar apabila ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli yang kini dalam proses pemulihan kecederaan tidak mengambil bahagian dalam kejohanan selama dua hari itu.

Iklan
Iklan

Namun, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S M Muthu optimis persaingan sengit tetap bakal berlaku apabila kejohanan itu menghimpunkan 121 atlet seluruh negara terdiri daripada atlet program Podium, pelapis dan atlet negeri di luar program olahraga kebangsaan.

Katanya, antara atlet utama yang akan memeriahkan kejohanan itu adalah pemegang rekod lompat kijang kebangsaan dan pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 Muhammad Hakimi Ismail, pemegang rekod 100m kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan dan jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong.

Iklan

"GP Malaysia ialah kejohanan pertama dalam kalendar KOM tahun ini, walaupun tidak sebesar edisi 2019 tetapi ia akan pasti memberi satu landasan pertandingan yang berdaya saing kepada atlet,” katanya pada sidang media kejohanan itu di Stadium Mini MSN di sini, hari ini.

Muhammad Haiqal yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2019 di Filipina mengalami kecederaan buku lali sementara Andre Anura dihimpit kecederaan tendon.

Iklan

Pada masa sama, Muthu berkata, GP Malaysia kali ini merupakan kejohanan kompetitif pertama buat sebahagian besar atlet olahraga negara sejak penularan pandemik COVID-19 pada Mac tahun lepas.

Katanya, kelulusan diberikan kerajaan untuk menganjurkan kejohanan tersebut secara tidak langsung dapat memberi aura pertandingan yang diperlukan atlet dalam usaha masing-masing melayakkan diri ke kejohanan antarabangsa, terutama temasya Sukan Olimpik Tokyo pada Julai dan Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Sementara itu, Muthu berkata, di bawah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan, GP Malaysia diadakan tanpa kehadiran penonton.

Dalam pada itu, katanya, KOM turut merancang untuk mengadakan Kejohanan Terbuka Malaysia pada 11-13 Jun dan Kejohanan Bawah 20 Tahun Kebangsaan pada 24 dan 25 Julai depan. - Bernama