Perak FC belum cukup pro

Iklan
Barisan pemain Perak FC menampilkan tahap profesionalisme yang tinggi biarpun dibelenggu masalah tunggakan gaji ketika ini. - Foto FB Perak FC. (Gambar kecil: M Karathu)

ISU tunggakan dan kelewatan pembayaran gaji pemain yang sedang menggegar arena bola sepak negara ketika ini membuktikan masih ada pengurusan kelab yang belum mencapai tahap profesionalisme sepenuhnya.

Menurut bekas pengendali Perak, Datuk M Karathu berkata, ‘mainan politik’ dalam pasukan selain terlalu mengharap bantuan kerajaan negeri menjadi punca masalah tersebut sering berlaku saban tahun dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).

Iklan
Iklan

"Masalah pengurusan ini sudah lama berlaku dalam bola sepak di Malaysia ini. Nama saja profesional, tetapi belum profesional sepenuhnya. Bagi saya, hanya Johor Darul Ta’zim (JDT) yang betul-betul profesional ketika ini.

"Pasukan lain masih mengharapkan kepada kerajaan negeri walaupun kita sudah capai tahap penswastaan. Di Malaysia ini, pasukan-pasukan masih ada pengaruh politik dan mereka akan lantik siapa sahaja yang mereka suka dalam pasukan.

Iklan

"Jadi ini adalah masalah yang besar kepada pasukan. Apabila tak dapat bantuan daripada kerajaan negeri, maka mereka tiada duit untuk bayar gaji. Bagi pemain pula, mereka cuba untuk jadi profesional dan tetap bermain walaupun tidak dibayar gaji.

"Tetapi lama kelamaan ia akan menjejaskan moral mereka dalam setiap perlawanan kerana gaji itu hak mereka. Jadi dalam isu Perak FC ini, saya harap mereka dapat menjadi lebih profesional dalam melunaskan tunggakan gaji tersebut dengan baik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Iklan

Terdahulu, isu tunggakan gaji kembali hangat dalam saingan Liga-M apabila pihak pengurusan Perak FC didakwa gagal melunaskan gaji pemain untuk tempoh dua bulan terakhir.

Bagaimanapun, situasi agak reda seketika apabila Perak FC melunaskan bayaran gaji bagi bulan Februari 2021 pada Rabu membabitkan jumlah RM900,000 daripada dana kerajaan negeri.

Kem Sabah FC turut terpalit dengan isu sama apabila berlaku kelewatan pembayaran gaji biarpun sebelum itu timbul dakwaan gaji pemain tertunggak sehingga tiga bulan.

Mengulas lanjut, Karathu berkata, masalah yang berlaku kepada Perak FC tidak akan ‘berjangkit’ kepada kelab lain sehingga mampu mengundang ‘virus’ yang lebih buruk dalam Liga-M.

"Masalah ini harus ditangani dengan baik oleh pengurusan Perak FC. Jangan terlalu bergantung kepada dana kerajaan negeri kerana kita sekarang sudah berada dalam era penswastaan.

"Sebaiknya, pengurusan Perak FC terus bekerja keras dalam mencari dana untuk membiayai gaji pemain dan pegawai pasukan. Saya harap masalah ini dapat diselesaikan sebaik mungkin,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Perak FC tawar jutawan ambil alih pasukan