Bekas sarjan berteduh dalam bangsal

Iklan
Ismail Yaacob, 61, yang tinggal bersendirian dalam sebuah bangsal bersebelahan rumah pusaka arwah ibu bapanya di Kampung Sungai Budor, Kota Bharu.

KOTA BHARU - Berkeadaan lumpuh separuh badan akibat strok tidak menghalang seorang bekas sarjan menghias landskap dan menjaga kebersihan bangsal yang menjadi tempat tinggalnya di Kampung Sungai Budor di sini sejak dua tahun lalu.

Ismail Yaacob, 61, memilih untuk tinggal dalam bangsal serupa stor kecil seluas empat meter persegi yang beratap zink kerana tidak mampu membina rumah baharu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia tinggal bersendirian di bangsal itu dan hanya bertemankan burung serta ayam peliharaannya selain bercucuk tanam bagi menghilangkan kesunyian.

Ismail (tengah) bercucuk tanam di sekeliling bangsalnya.

"Kali terakhir saya berkhidmat sebagai pembantu pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Star, Alor Star, Kedah pada 2014.

Iklan

"Selepas pencen, saya kena strok pada Disember 2017. Setahun 'terjelepuk' macam kain buruk kemudian menduda dan pulang ke kampung tahun 2019 untuk belajar agama di Pondok Pasir Tumboh.

"Kini saya tinggal di bangsal kerana tidak cukup duit untuk bina rumah baharu. Rumah pusaka arwah ibu bapa bersebelahan ini sudah reput dan menunggu masa runtuh,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Budor di sini pada Khamis.

Iklan

Ismail berkata, empat anaknya berusia 30-an hingga 20-an tinggal di Kuala Lumpur kerana bekerja dan sering pulang menziarahinya.

Menurutnya, dia pula hendak tinggal di kampung kerana sudah tua.

"Makan minum saya beli di kedai. Kadangkala ada anak jiran hantarkan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud (dua dari kanan) bersama anggota dan pegawai membacakan doa semasa berkunjung ke bangsal Ismail Yaacob, 61, sebelum ini.

Dalam pada itu, dia mengakui hasrat memiliki rumah terhalang bukan setakat wang malah kudrat lewat usia yang turut membatasinya.

"Bangsal ini dibina oleh saudara mara dan tentunya kurang selesa terutama ketika hujan, namun saya bersyukur kerana ketua balai, ketua polis daerah dan pemimpin masyarakat yang sentiasa ziarah serta menghantar bekalan makanan,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Ismail Yaacob Bank Simpanan Nasional 0412029886667234 atau hubunginya di talian 011 3914 0308.