KUANTAN - Seorang lelaki kerugian RM100,300 dipercayai ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dari Putrajaya dan pegawai polis pada Khamis.
Mangsa yang berusia 52 tahun pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita dikenali Anisah Hasan yang menyamar sebagai pegawai LHDN dari Putrajaya pada jam 11 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, ketika itu suspek mendakwa akuan bank milik mangsa akan dibekukan kerana mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM26,800.25.
Menurutnya, selepas itu, mangsa menerima pula panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa anggota polis yang dikenali Asisten Komisioner (ACP) Hafiz dari Jabatan Komersil Bukit Aman.
"Panggilan itu kemudian disambungkan kepada ACP Mohd Afiq Azmi bagi membolehkan kes tunggakan cukainya diselesaikan.
"Mangsa dimaklumkan bahawa semua wang miliknya perlu dipindahkan ke akaun Bank Negara bagi siasatan dan pembekuan aset.
"Selepas berbincang, mangsa sedia memberi kerjasama dan bersetuju untuk menyerahkan Identiti pengguna (ID) serta kata laluan bagi membuat transaksi ke akaun Bank Negara," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, mangsa turut memaklumkan kepada ACP Mohd Afiq bahawa dalam akaun milik isterinya mempunyai simpanan sebanyak RM50,000.
Katanya, ACP Mohd Afiq meminta mangsa menyerahkan ID pengguna akuan, kata laluan dan Kod Pengesahan Transaksi (TAC) milik isteri mangsa kepadanya bagi tujuan sama.
"Sebanyak lapan TAC diserahkan kepada ACP Mohd Afiq bagi tujuan pemindahan wang dari akaun bank milik mangsa dan isterinya.
"Selepas menyerahkan TAC itu, ACP Mohd Afiq memaklumkan siasatan telah selesai," katanya.
Sehubungan itu, katanya, mangsa membuat semakan ke atas akaun miliknya dan isteri mendapati wang sebanyak RM111,300 telah dipindahkan.
"Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong kerana berasa dirinya telah ditipu," katanya.