KAJANG - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim 'tidak terpukau' dicalonkan sebagai bakal Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Anwar yang merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagaimanapun menyifatkan ia sebagai satu mandat yang jelas diberikan oleh PH iaitu blok terbesar dalam negara ketika ini.
Beliau turut yakin dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, pengangguran dan nasib Melayu yang terabai kini adalah masa sesuai mengimplikasikan prinsip-prinsip akan diketengahkan.
"Yang disebut bakal Perdana Menteri sudah berpuluh tahun dah, jadi saya tidak sangat terpukau dengan keputusan begitu. Tetapi ia sesungguhnya berikan satu mandat yang jelas daripada PH iaitu blok terbesar dalam negara sekarang ini untuk mengimplikasikan prinsip-prinsip diketengahkan, itu pertama.
"Keduanya, mengandaikan bahawa ada seperanan satu atau dua orang (calon Perdana Menteri) seperti mana pilihan raya yang lalu juga tidak tepat iaitu kita lihat pada 2013, kita lebih dari (segi) jumlah dan jumlah pengundi kita lebih besar.
"Pada 2018, saya tidak menafikan peranan Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi gerakan rakyat itu telah bangkit, jauh, lama dari itu dan dia membantu. Saya ucapkan terima kasih walaupun kemudian dia korbankan.
"Jadi saya, Insya-ALLAH yakin dengan perkembangan sekarang, ekonomi begini, pengangguran begini, nasib Melayu lebih terabai dan saya fikir ini masa untuk mengangkat semula," katanya dalam bual bicara dalam talian anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) yang disiarkan di Facebook pada Sabtu.
Program bual bicara berkenaan menampilkan dua orang tokoh akademik yang tidak asing sebagai moderator iaitu Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff dan Dr Muhammad Asri Mohd Ali.
Pada Jumaat, PH memutuskan mengangkat Anwar yang juga merupakan ahli Parlimen Port Dickson sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan itu menang dalam PRU15.
Itu antara tujuh ketetapan yang diputuskan dalam 'Ketetapan Port Dickson' selepas pemukiman pimpinan PH di Port Dickson yang berlangsung selama dua hari dan berakhir pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: PRU15: PH namakan Anwar calon PM