Lapan tuan rumah Euro 2020 benarkan kemasukan penonton

Iklan
Stadium Wembley dipilih menjadi venue aksi final Euro 2020.

LAPAN daripada 12 buah bandar yang menjadi tuan rumah Kejohanan Euro 2020 membenarkan kehadiran penonton menyaksikan perlawanan di stadium berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19.

Menurut kenyataan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), venue di Amsterdam, Baku, Bucharest, Budapest, Copenhagen, Glasgow, London dan St Petersburg akan membenarkan kemasukan penonton dengan tahap kapasiti yang berbeza.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, UEFA memberi tempoh kepada empat lagi bandar - Munich, Rom, Bilbao dan Dublin sehingga 19 April bagi memaklumkan perancangan mereka bagi mengelak risiko digugurkan sebagai tuan rumah Euro 2020.

"UEFA dengan sukacitanya mengumumkan penonton akan kembali ke venue perlawanan Euro 2020. Kami ingin menyampaikan penghargaan kepada semua pihak dalam memastikan penonton dapat kembali ke stadium dengan selamat," kata UEFA.

Iklan

Stadium Wembley yang akan menjadi tuan rumah tiga perlawanan peringkat kumpulan, pusingan 16 terbaik dan separuh akhir dan final membenarkan kapasiti minimum stadium iaitu sebanyak 25 peratus.

Amsterdam, Bucharest, Copenhagen dan Glasgow pula mengesahkan 25 hingga 33 peratus kapasiti stadium boleh diisi. Ketiga-tiga bandar itu berharap dapat meningkatkan jumlahnya, bergantung kepada program ujian dan situasi penularan Covid-19.

Iklan

Saingan di Baku boleh dimuatkan 50 peratus walaupun peminat yang bertandang ke Azerbaijan perlu mengesahkan ujian negatif COVID-19 untuk memasuki negara itu.

St Petersburg pula bercadang untuk memuatkan 50 peratus stadium sementara Budapest kehadiran penuh penonton dengan syarat-syarat kemasukan ke stadium dapat dipenuhi.

Euro 2020 yang ditunda tahun lalu berikutan penularan pandemik Covid-19 akan berlangsung dari 11 Jun hingga 11 Julai dengan sepak mula membabitkan aksi antara Itali dan Turki di Rom.