'Isu audio Zahid-Anwar tidak pecah belah UMNO'

Iklan
Ismail Sabri

JOHOR BAHRU - Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendapat, isu audio yang dikatakan perbualan mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memecahbelahkan parti.

Beliau berkata, semua pihak atau ahli parti bebas mengeluarkan pandangan berkenaan audio tersebut dan UMNO tidak pernah menyekatnya.

Iklan
Iklan

"Saya tak nak kata pecah-belah parti tetapi perbezaan pandangan itu ada. Ada yang kata rakaman audio itu betul, ada yang kata palsu.

"Jadi yang terbaik (hasil) ialah siasatan polis (dan) laporan polis sudah dibuat oleh beberapa ahli dalam UMNO. Timbalan Ketua Polis Negara (Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani) pun dalam kenyataan semalam (Jumaat) memaklumkan kertas siasatan akan dibuka.

Iklan

"Harap pihak polis segera mengemukakan hasil siasatan dan nanti apa juga spekulasi serta perbezaan pandangan akan dapat diselesaikan," katanya mengulas mengenai audio berkenaan yang kini menjadi tular dalam media sosial dan menjadi isu dalam UMNO.

Ismail Sabri (tengah) diiringi pemimpin UMNO Johor sebelum merasmikan Program Bangkit 15 UMNO Negeri Johor di Hotel Trove, Johor Bahru pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Bangkit 15 UMNO Negeri Johor di Hotel Trove di sini pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pada Rabu, sebuah rakaman audio berdurasi empat minit didedahkan dikaitkan dengan Zahid dan Anwar yang saling berterima kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas perwakilan UMNO bersetuju dengan usul Zahid supaya parti itu memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Dalam rakaman itu, Zahid turut mengungkapkan terima kasih kerana Anwar memberikan sokongan moral kepadanya.

Bagaimanapun Zahid dan Anwar kemudian menafikan suara dalam audio berkenaan adalah perbualan mereka dan masing-masing menyatakan hasrat untuk membuat laporan polis.

Berkenaan desakan pemimpin dan ahli UMNO supaya Zahid berundur daripada jawatan Presiden, Ismail berkata, UMNO adalah parti yang mengamalkan demokrasi dan masing-masing bebas serta berhak mengeluarkan pandangan.

"Kita tidak pernah sekat atau halang sesiapa (beri pandangan) dari dulu lagi, ini cara kita, jadi terserah kepada ahli nak cakap apa tapi akhirnya kita yang akan buat keputusan dengan Majlis Kerja Tertinggi (MKT)," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Rakaman audio didakwa mirip suara Anwar-Ahmad Zahid tersebar

ARTIKEL BERKAITAN:Rakaman audio: Zahid, Anwar belum buat laporan polis