PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT) yakin Franco Morbidelli mampu meraih penamat podium dalam perlumbaan Grand Pix (GP) Portugal pada 16 hingga 18 April ini.
Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali percaya Morbidelli kembali menyinar pada perlumbaan ketiga musim ini di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao berdasarkan fakta pelumba Itali mempunyai rekod baik di litar sama musim lepas.
Pelumba berusia 26 tahun itu menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada musim lepas, di belakang pelumba Red Bull KTM Tech 3 Miguel Oliveira dan Jack Miller dari Pramac Racing yang masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua.
"Kami mempunyai data untuk diteliti dan dibandingkan dengan perlumbaan di Qatar... kami perlu bersaing dan berada di sana untuk memburu podium,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bagaimanapun, Razlan mengingatkan pelumba agar berwaspada dengan kemunculan pesaing terutama dari Ducati Lenovo Team yang menunjukkan peningkatan mendadak serta pelumba Red Bull KTM Factory Racing yang mempunyai prestasi hebat di Portimao.
Beliau turut berharap Valentino Rossi tampil lebih hebat di Portugal dengan memperbaiki pengaturan dan gaya tunggangannya dalam usaha memburu lima kedudukan terbaik pada perlumbaan akan datang.
Sementara itu, Razlan merasakan bahawa masalah tayar menyebabkan prestasi tidak menentu Morbidelli manakala Rossi pula menghadapi masalah berkaitan pengaturan jenteranya pada dua perlumbaan sebelum ini.
Kedua-dua pelumba itu dibelenggu permulaan yang sukar pada dua perlumbaan musim 2021.
Morbidelli menamatkan perlumbaan di tempat ke-12 manakala Rossi di tempat ke-18 pada perlumbaan pembukaan GP Qatar bulan lalu manakala pada minggu lepas Morbidelli sekali lagi menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 dan Rossi ke-16 pada GP Doha, kedua-dua perlumbaan berlangsung di Litar Losail. - Bernama