KUALA LUMPUR - Situasi negara ketika ini menunjukkan wujud satu keperluan mendesak supaya sebuah akademi politik ditubuhkan bagi memberikan latihan rasmi kepada wakil rakyat.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, penubuhan akademi itu perlu difikirkan pucuk pimpinan ke arah membentuk wakil rakyat supaya menjadi pemimpin berwibawa dan celik perundangan.
"Saya kira (penubuhan akademi) ini adalah satu keperluan mendesak kerana kita boleh melihat semua organisasi ada pusat latihannya seperti kerajaan, ada Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).
"Tetapi untuk orang politik, masih tak ada. Bila menang sahaja pilihan raya, (ahli politik) terus masuk Parlimen," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-53/54 Badan Kebajikan dan Kemajuan Anak-Anak Melayu Negeri Sembilan Darul Khusus Di Kuala Lumpur di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini pada Sabtu.
Rais berkata, akademi tersebut antaranya perlu memberi latihan dan bimbingan dari sudut perundangan, adat pelbagai kaum di negara ini, sosialisme dan etika di Parlimen.
Katanya, aspek latihan itu penting supaya ahli politik mematuhi perundangan dan peraturan yang ditetapkan.
"Kita bandingkan (ahli politik) dengan penjawat awam. Mereka (penjawat awam) apabila kena tuduhan mahkamah, mereka berhenti segala-gala (aktiviti). Tak boleh pergi ke sana sini beri syarahan, mereka diam.
"Tapi orang politik, dah jatuh hukuman pun masih menjalankan kegiatan. Adakah ini adil? Bagi saya perbuatan ini bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Malaysia (berkaitan hak kesamarataan)," katanya.
Sementara itu, Rais yang juga Pengasas dan Pengerusi Yayasan Budi memberitahu, Program Jawi Jiwa Bangsa akan dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Selasa ini untuk terus mempopularkan aksara jawi.
Katanya, program anjuran Yayasan Budi dan Yayasan Al-Bukhary dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri (PMO) akan turut menjelajah beberapa negeri seperti Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang.
"Menjelang Jun ini, aksara jawi akan diserap ke dalam program-program generasi muda untuk bersama-sama memahami dan menikmati semula aksara jawi sebagai sebahagian jiwa perjuangan kita dalam abad terdahulu.
"Yang penting menerusi program ini, kita menggembleng rakyat, bukan institusi. Antara pengisian program ialah pertandingan menulis cerpen, rencana dan mencipta logo," katanya
Jelasnya, serentak dengan pelancaran program itu, buku Budi Asas Tamadun yang berkaitan dengan aksara jawi akan turut dilancarkan Muhyiddin.