KUALA NERANG - Sebanyak 60 keluarga di kawasan Parlimen Padang Terap gembira apabila menerima replika kunci rumah perumahan Taman Desa Pudina, Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Kubang Kenyeng, Padang Terap pada Sabtu.
Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kegembiraan buat penerima berganda kerana pada Selasa ini juga umat Islam bakal menyambut kehadiran Ramadan.
"Syukur projek bantuan perumahan ini berjaya disiapkan tepat pada masanya lebih-lebih lagi menjelang kita nak menyambut bulan Ramadan dan juga Aidilfitri tidak lama lagi.
"Penyerahan rumah ini juga membolehkan mereka yang menerima sumbangan rumah ini mendudukinya sebelum menjelang Ramadan dan Aidilfitri," katanya selepas menyampaikan replika kunci rumah kepada 60 penduduk perumahan Taman Desa Pudina, Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Kubang Kenyeng, Padang Terap pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, impian keluarga-keluarga tersebut untuk mendiami rumah kediaman yang lebih selesa kini menjadi kenyataan.
Menurutnya, mereka ini merupakan antara penduduk yang terpilih bagi menerima bantuan perumahan di bawah inisiatif Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
"Projek bantuan perumahan ini dibina dengan kos RM9.5 juta dan bantuan perumahan ini saya fikir amat bermakna buat penduduk khususnya golongan kurang mampu untuk memiliki rumah kediaman yang selesa.
"Kerajaan memang sentiasa mencari jalan dan berusaha untuk melihat rakyat hidup dalam suasana yang selesa serta berkualiti," katanya.
Hadir sama Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Wira Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail yang juga Pengerusi KEDA, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Mohd Radzi Md Amin, ADUN Kuala Nerang, Munir Mohamad Yusof Zakaria, Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman dan Pengurus Besar KEDA, Kamaruddin Abd Akib