Desamall@Lipis dapat sambutan menggalakkan

Iklan
Abdul Rahman (tengah) turut tertarik dengan produk yang ditawarkan di Stor Konsep Desamall@Lipis.

LIPIS - [DIKEMAS KINI] Sejak beroperasi secara rasmi pada 20 Februari lalu, stor konsep Desamall@Lipis kini menawarkan lebih 500 produk tempatan kepada pelanggannya.

Selain mempamerkan produk usahawan luar bandar secara fizikal di mana pelanggan boleh melihat, menyentuh dan seterusnya membeli di premis terbabit, stor konsep ini juga turut menawarkan pembelian menerusi platform e-Dagang.

Iklan
Iklan

Lebih menarik apabila sambal hitam, gula kabung dan biskut kelapa yang dihasilkan usahawan tempatan khususnya dari Lipis sendiri menjadi antara produk 'laku keras' di premis yang terletak di Jalan Besar, Kuala Lipis dekat sini.

Operator Desamall@Lipis, Wan Farid Afiqf Wan Nasrudin berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada masyarakat sejak stor tersebut beroperasi.

Iklan

Menurutnya, selepas beroperasi lebih sebulan, Desamall@Lipis telah berjaya menempatkan sehingga 530 jenis produk dan mampu meraih pendapatan kira-kira RM30,000 sehingga kini.

"Kami akui ramai pelanggan ke sini untuk mencari produk tempatan terutamanya sambal hitam dan biskut kelapa yang sentiasa mendapat sambutan serta laris dijual.

Iklan

"Setakat ini bukan sahaja usahawan dari daerah ini yang menyertai Desamall di Lipis ini malah terdapat pengusaha dari luar seperti dari Kuantan, Jerantut dan Raub," katanya pada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena majlis perasmian stor konsep Desamall@Lipis di sini pada Sabtu yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Mengulas lanjut, Wan Farid berkata, pihaknya juga sedang merancang untuk membuka mini kafe dan menawarkan 'dessert' gula kabung sebagai tarikan kepada pelanggan.

Program yang mula diperkenalkan oleh KPLB pada 2017 bertujuan untuk membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian, pentadbir program tersebut, eLokal Sdn Bhd turut memainkan peranan dalam membantu usahawan terlibat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shah Wahid berkata, sebanyak 80 peratus produk ditempatkan di hub runcit itu adalah produk tempatan selebihnya dari negeri lain dan berhasrat untuk menambahkan lagi jumlah usahawan menyertai Desamall terbabit.

Teruja jualan produk meningkat Dalam pada itu, dua usahawan dari Lipis yang menyertai Desamall@Lipis, Noraziza Ngademan, 37, dan Noor Suzilawati Nasrudin, 33, mengakui gembira kerana jualan produk masing-masing semakin meningkat sejak menyertai program tersebut.

Noraziza dari Kampung Barus itu menghasilkan sambal hitam dengan jenama 'Aokme' telah berjaya menjual kira-kira 1,000 unit sambal setakat ini setelah dia menyertai hub runcit tersebut.

Dia yang telah menghasilkan sambal tersebut sejak 2015 itu memberitahu perlu menambah stok hingga 30 unit setiap minggu berikutan sambutan menggalakkan pelanggan di stor terbabit.

Noor Suzilawati

"Sambal ini saya hasilkan dengan mengubah suai sendiri resipinya dan memang dalam keluarga hanya saya seorang yang terlibat dalam perniagaan ini.

"Saya berpuas hati dan gembira kerana membuat pilihan tepat menyertai Desamall dan saya kini dalam usaha mendapatkan sijil Halal dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI)," ujarnya.

Bagi Noor Suzilawati dari Kampung Lebok Jeram Landak pula turut mengakui perbezaan hasil jualan semenjak memasarkan produknya, ZeeKepek di stor berkenaan.

"Kalau dulu seminggu saya hanya gunakan 30 kilogram pisang untuk menghasilkan kerepek, namun kini mampu mencecah 500kg dalam tempoh sama.

"Selain kerepek pisang, saya turut menghasilkan maruku dan kacang peas yang dijual dengan harga RM15 setiap pek seberat 270 gram," katanya yang sebelum ini produknya dijual secara kecil-kecilan di kedai atau warung.

Sementara itu, Abdul Rahman memberitahu sehingga kini terdapat 2,162 usahawan luar bandar yang telah menyertai program tersebut.

Biskut kelapa antara produk usahawan tempatan yang dijual.

"Sejak dilancarkan pada akhir tahun 2017 hingga 31 Mac 2021, Desamall telah mencatatkan jumlah jualan usahawan luar bandar sebanyak RM2.05 juta dengan 2,362 produk dan 24,537 SKU (Stock Keeping Unit) dipasarkan di platform e-Dagang yang disertai oleh Desamall@KPLB.

"Kita mengalu-alukan usahawan luar bandar di seluruh negara dan tidak melepaskan peluang terbaik yang ditawarkan menerusi program ini," kata beliau.

INFO

> Desamall@Lipis dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula jam 10 pagi hingga 8 malam.

> Dua lagi stor konsep sama di Mersing, Johor dan Gudang di Bukit Jelutong.