UMNO perlu pemimpin baharu

Iklan
UMNO diharap dapat memilih satu barisan kepimpinan baharu agar politik negara lebih dinamik dan matang.

UMNO dikatakan akan menangguhkan pemilihan parti yang dijadualkan diadakan tahun ini.

Penangguhan itu dicadangkan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang dijangka diadakan selepas tamat tempoh darurat pada 1 Ogos nanti.

Iklan
Iklan

Ketika mengulas perkembangan semasa yang berlaku dalam UMNO ketika ini, Nanyang Siang Pau melalui ruangan Lidah Pengarangnya meramalkan politik UMNO akan menjadi lebih menarik dan panas sebelum tibanya PRU15 dan pemilihan parti.

Akhbar itu menulis, walaupun pemilihan UMNO terpaksa ditangguhkan, isu siapa bakal menjadi perdana menteri tetap hangat diperkatakan sama ada di dalam mahupun luar parti.

Iklan

Sejak kebelakangan ini, agak terkejut apabila adanya kenyataan secara terbuka dibuat oleh seorang dua pemimpin berpengaruh dalam UMNO yang mencalonkan diri mereka sebagai calon perdana menteri.

Baru-baru ini, bekas Menteri Kewangan yang merupakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tanpa berselindung menyuarakan mahu menjadi perdana menteri.

Iklan

Dengan penuh keyakinan, beliau percaya dirinya memiliki semua yang diperlukan untuk memegang jawatan itu walaupun mungkin tidak mendapat sokongan daripada partinya sendiri.

Tidak terkecuali, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bergurau dengan berkata beliau merupakan calon perdana menteri yang paling sesuai jika partinya memenangi PRU15.

Walaupun kata-katanya berbentuk gurauan, namun dalam politik, sebarang kemungkinan tetap boleh berlaku.

"Di sebaliknya isu pergolakan dalam UMNO dan masing-masing mahu berebut kuasa, terdapat juga suara-suara yang mendesak agar UMNO diambil alih oleh pemimpin-pemimpin muda yang berkaliber bagi menghadapi PRU15,” ulas akhbar itu.

Nanyang Siang Pau berpendapat, bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengalami kekalahan pada pemilihan lalu sepatutnya boleh melakukan percubaan kali kedua dalam pemilihan akan datang.

"Apakah Khairy Jamaluddin masih mempunyai peluang untuk merampas kerusi Presiden UMNO setelah kalah pada pemilihan parti tahun 2018?

"Dalam kaji selidik yang dianjurkan secara bersama oleh akhbar Sinar Harian dan Sin Chew Daily sempena ulang tahun pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak berapa lama dulu, Khairy Jamaluddin menerima undi tertinggi daripada pembaca sebagai menteri kabinet dengan prestasi kerja paling tinggi.

"Beliau yang merupakan Menteri Penyelaras Program Vaksin Covid-19 Kebangsaan walaupun menerima pujian daripada pembaca kerana menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang, namun masa depannya dalam UMNO masih sukar diramalkan.

"Beliau masih perlu bekerja keras untuk menempuh pelbagai halangan sekiranya ingin mendapat sokongan padu daripada akar umbi,” kata akhbar itu lagi.

Kedudukan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein juga tidak boleh dipandang sepi.

Akhbar Nanyang Siang Pau percaya Hishammuddin berkemungkinan bersaing dengan Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berebut pemimpin nombor satu UMNO.

Akhbar Cina itu berharap UMNO dapat memilih satu barisan kepimpinan baharu agar politik negara lebih dinamik dan matang.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian